
KUALA SELANGOR, 19 NOV: Pembangunan pesat yang tidak seiring kelengkapan prasarana menyebabkan kesesakan kerap tertumpu di tiga lokasi, kata Jawatankuasa Penduduk fasa satu Puncak Alam.
Pengerusinya, Muhammad Azhar Abdullah menamakan laluan tersebut ialah Jalan Puncak Alam-Desa Coalfields, simpang empat Eco Grandeur dan sekitar Alam Budiman.
Beliau menyifatkan masalah itu semakin ketara apabila bilangan penduduk dan kenderaan kian bertambah dengan ketara tetapi kapasiti jalan raya tidak mencukupi.
"Sudah 25 tahun menetap di Puncak Alam. Daripada kawasan yang dahulunya tidak banyak pembangunan, sekarang semakin berkembang pesat. Tetapi pesatnya pembangunan tidak disokong infrastruktur yang sepatutnya," katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan masalah utama antaranya kesesakan akibat jalan raya yang semakin mengecil daripada empat kepada dua lorong, khususnya laluan Puncak Alam ke Desa Coalfields.
"Di situlah punca banyak kenderaan sangkut. Perkara sama juga berlaku dengan Alam Budiman, simpang tiga, tetapi sesak gara-gara lampu isyarat dan lorong yang mengecil," katanya.
Katanya, kesesakan memberi kesan kepada penduduk yang berulang-alik ke pusat bandar raya seperti ke Kuala Lumpur boleh mengambil masa hingga lebih satu jam khususnya waktu puncak.
Beliau turut membangkitkan isu keselamatan jalan raya ekoran nahas kerap terjadi manakala masalah banjir dan longkang tersumbat yang belum selesai.
Katanya, lima tuntutan utama penduduk meliputi penyelesaian kesesakan, penambahbaikan jalan dan pengangkutan awam, penyediaan infrastruktur serta pemantauan bersama pihak berkaitan.
"Saya harap Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau mana-mana agensi berkaitan ambil perkara ini dengan serius kerana ia turut membabitkan nyawa orang," katanya.
Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam Mohd Hanif Md Sultan pula berkata pembinaan balai polis perlu disegerakan ekoran bilangan penduduk dianggar mencecah 300,000 orang.
Beliau berkata penduduk bergantung kepada balai polis Saujana Utama, kira-kira lapan kilometer dari bandar itu sedangkan banyak pembangunan pesat berlaku di bandar itu.

"Apabila pembangunan pesat, penduduk memerlukan infrastruktur yang baik terutama aspek keselamatan kerana ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), kawasan perindustrian dan banyak perumahan," katanya kepada Media Selangor.
Mohd Hanif menjelaskan keperluan balai polis itu sudah dibangkitkan sejak tahun 2018 tetapi pihaknya masih menantikan perkembangan lanjut berkaitan pembinaannya.







