Pembinaan klinik, sekolah di Puncak Alam mulai tahun depan 

19 Nov 2026, 3:00 AM
Pembinaan klinik, sekolah di Puncak Alam mulai tahun depan 
Pembinaan klinik, sekolah di Puncak Alam mulai tahun depan 

SHAH ALAM, 19 NOV: Klinik, sekolah, balai polis dan hab perkhidmatan bas antara kemudahan yang akan dibina demi keselesaan penduduk setempat ekoran kepesatan pembangunan di Bandar Puncak Alam.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memberitahu keperluan tersebut sedang diteliti dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor 2035 (MPKS) (Penggantian).

Katanya, ia meliputi pelbagai aspek termasuk jaringan jalan raya, sistem tebatan banjir, bekalan elektrik, telekomunikasi, pengangkutan awam serta penyediaan tapak kemudahan awam.

"Apabila kita buat pengezonan, semua perkara ini akan dilihat termasuk infrastruktur jalan, sistem tebatan banjir, bekalan elektrik, telekomunikasi dan pengangkutan awam.

"Cuma pelaksanaannya mungkin ada yang cepat dan ada yang lambat. Infrastruktur asas biasanya didahulukan, manakala kemudahan awam seperti klinik, hospital dan sekolah mungkin mengambil sedikit masa," katanya kepada Media Selangor.

State executive councillor for infrastructure Izham Hashim (left) speaking to Public Works Department officers during his inspection of the road-widening works along Persiaran Mokhtar Dahari in Shah Alam, on July 5, 2023. — Picture by AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Dalam aspek kesihatan, beliau berkata Kementerian Kesihatan mengenal pasti 11 lot rumah kedai di Alam Suria untuk membina Klinik Kesihatan Bandar Puncak Alam yang dijadual bermula 2027.

Menurut Ir Izham lagi, tapak balai polis pula dicadang akan dibangunkan di Eco Grandeur dan Hill Park, tertakluk kepada perancangan dan pelaksanaan agensi berkaitan.

Berkaitan kemudahan pendidikan, beliau berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eco Grandeur sedang dibina untuk menampung 960 murid dan dijangka dibuka pada suku ketiga 2028.

"Sebuah lagi sekolah menengah akan dibina di Bandar Puncak Alam dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Projek pembinaan sekolah ini sudah diluluskan, kini peringkat prapembinaan," katanya.

Selain itu, Ir Izham berkata hab bas baharu akan dibangunkan dan tapak berhadapan pasar raya Lotus’s Puncak Alam dikenal pasti sebagai lokasi cadangan bagi meningkatkan kesalinghubungan.

Katanya, penduduk Bandar Puncak Alam juga menikmati perkhidmatan Bas Smart Selangor laluan KS02 yang menghubungkan Puncak Alam dan Saujana Utama ke Stesen Komuter Sungai Buloh.

"Kita bersedia dan syarat itu turut dikenakan kepada beberapa pemaju antaranya Paragon Pinnacle Sdn Bhd dan Tropicana Alam Sdn Bhd. Pelaksanaan dijangka bermula pada 2028," katanya.

Ir Izham juga memberitahu pihaknya juga ada perancangan untuk membina jejambat di beberapa persimpangan sekitar Puncak Alam mulai 2028 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Untuk mengelakkan kesesakan, kita terpaksa meneliti beberapa lokasi yang sesuai untuk menggantikan lampu isyarat dengan 'flyover' (jejambat).

Untuk jangka panjang, beliau berkata, Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Puncak Alam dirancang sebagai stesen penumpang dan kargo seperti dinyatakan Malaysia Rail Link.

"Kemudahan ini dijangka meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong ekonomi setempat di samping penambahbaikan laluan serta kekerapan bas.

"Kita akan memperkukuh penyelarasan antara MPKS, pemaju, jabatan teknikal dan kementerian berkaitan bagi memastikan kemudahan awam dijalankan mengikut keperluan penduduk," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.