
SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 300 kilometer (km) paip usang di Selangor akan diganti tahun hadapan menerusi peruntukan RM559 juta, dengan sebahagian kos ditanggung Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi mempercepat pembaharuan infrastruktur bekalan air negeri, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
"Ini adalah peningkatan (penggantian) yang kita aturkan dan sebahagiannya ditanggung Air Selangor melalui program yang mereka bangunkan. Kebetulan kalau ikut trend kewangan, kita percaya tahun ini adalah tahun pertama sejak Jabatan Air Negeri Selangor, sehinggalah Syabas dan Air Selangor.
"Air Selangor kemungkinan akan mencatatkan keuntungan kali pertama. Jadi, sudah sampai masanya mereka mengembalikan kepada rakyat dalam bentuk menambah baik infrastruktur sedia ada.
"Keseluruhan kita ada 6,000 kilometer (km)... kita dah ganti lebih kurang 1,000km dan mungkin kita perlukan usaha yang lebih giat. Kalau kita belanja RM500 juta boleh mencecah di antara 400 ke 500km dalam tempoh setahun," katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, hari ini.
Menerusi Belanjawan Selangor 2027, Kerajaan Negeri meningkatkan sasaran penggantian paip usang daripada 150km kepada 300km setahun melalui kerjasama dengan Air Selangor.
Langkah itu bertujuan memperbaharui rangkaian paip lama, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem agihan air serta mengurangkan risiko kebocoran dan gangguan bekalan.
Untuk rekod, program penggantian paip usang dilaksanakan sejak 2016 dengan sasaran 150km setahun. Sehingga Ogos lalu, sebanyak 1,231.01km paip telah selesai digantikan.







