SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai insentif dan program bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan selain meningkatkan kemahiran dalam perniagaan.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penyediaan insentif itu membantu usahawan menjana pendapatan sekali gus membuka peluang menceburi bidang ekonomi baharu.
"Contohnya Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) yang menawarkan kemahiran kepada mereka yang mahu menambah skill dengan kursus kemahiran tambahan dengan kadar bayaran berpatutan selain skop masa bersesuaian.
"Bagi latihan bimbingan pula, mereka boleh ikuti inisiatif Platform Selangor (PLATS) Transisi Kerjaya digerakkan Platform Selangor. Ini beri ruang anak muda dapatkan bimbingan secara asas dan meneruskan peluang dan membina kerjaya...cuma mereka perlu beri komitmen sepenuhnya," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Wan Dzahanurin Ahmad berhubung peluang pembangunan kemahiran dan ekonomi untuk belia pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Najwan memaklumkan pihaknya akan menyalurkan segala maklumat terkini berkaitan pembangunan untuk golongan belia kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.
"Kita sentiasa perbanyak program ini cuma penglibatan wakil rakyat pembangkang tidak ada akses atau informasi. Kita akan beri maklumat tersebut tidak kira kerajaan mahupun pembangkang," katanya.







