
SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 50,000 rakyat Selangor bakal menikmati akses kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) Gemini selama setahun, termasuk pakej latihan secara dalam talian dan bersemuka.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan inisiatif itu dengan kerjasama Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Google.
Menurutnya, latihan berkenaan bertujuan melengkapkan rakyat daripada pelbagai latar belakang dengan kemahiran membangunkan sistem AI berasaskan ejen autonomi (agentic AI).
“Dengan kerjasama STDC dan Google, Kerajaan Negeri akan menawarkan akses Gemini Enterprise kepada 50,000 rakyat Selangor selama setahun berserta pakej latihan dalam talian dan secara bersemuka.
“Latihan ini akan memberikan kemahiran kepada rakyat pelbagai latar belakang seperti pelajar, usahawan, petani, pengusaha syarikat pemula mahu pun warga emas untuk membangunkan sistem agentic AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan 'Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni' di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Sebelum ini, pada Mac 2025, Kerajaan Negeri membangunkan pelan tiga tahun berkaitan AI bersama Google Cloud Malaysia (Google Cloud) bagi mempertingkat kecekapan pentadbiran negeri.
Amirudin dilaporkan berkata fasa pertama projek dikenali sebagai Teraju AI itu membabitkan kos RM5 juta, dengan matlamat meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.







