SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 1,507 usahawan dibantu menerusi Dana Pantas dan Dana Niaga Tani disedia Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dengan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM13.84 juta bagi tempoh 26 Ogos sehingga 31 Oktober lalu.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, sebanyak 841 permohonan ditolak disebabkan rekod kredit pemohon tidak baik, bukan pengundi berdaftar di Selangor serta status kebankrapan bagi tempoh sama.
"Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor telah melaksanakan dua pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa kadar keuntungan menerusi aplikasi Dana PLUS, iaitu Dana Pantas dan Dana Niaga Tani.
"Dana Pantas menawarkan pembiayaan untuk semua sektor perniagaan manakala Dana Niaga Tani khusus untuk sektor pertanian (huluan dan hiliran). Semua permohonan yang menepati syarat dan kelayakan menerima kelulusan sepantas 48 jam.
"64 peratus kadar kelulusan menepati syarat dan kelayakan dengan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM13.84 juta. Pencapaian ini adalah 90 peratus daripada sasaran keseluruhan peruntukan dana berjumlah RM15.4 juta," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram Dato' Harrison Hassan berhubung usahawan dibantu menerusi pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 pada sesi pertanyaan lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Najwan memaklumkan Hijrah Selangor turut menawarkan pembiayaan sehingga RM3,000 tanpa kadar keuntungan iaitu PLATS Biaya iaitu pembiayaan kerjasama strategik bersama Platform Selangor (PLATS).
"Bagi tempoh 2024 sehingga Oktober lalu, Hijrah Selangor telah menyalurkan sebanyak 257 pembiayaan PLATS Biaya kepada usahawan Selangor dengan jumlah pembiayaan bernilai RM770,000," katanya.
Dana Pantas dan Dana Niaga Tani merupakan skim pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa kadar keuntungan dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.
Dana Pantas terbuka kepada semua sektor perniagaan yang berdaftar dan telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun, manakala Dana Niaga Tani dikhususkan kepada sektor pertanian huluan dan hiliran dengan tempoh operasi perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan.
Antara syarat utama permohonan ialah:
warganegara Malaysia berusia antara 18 hingga 65 tahun
bermastautin, mengundi dan menetap di Selangor
usahawan baharu termasuk usahawan Platform Selangor (PLATS), tertakluk kepada syarat ditetapkan







