MPKj selesai hampir 106,000 aduan, capai kadar 99.32 peratus

18 Nov 2026, 3:47 AM
MPKj selesai hampir 106,000 aduan, capai kadar 99.32 peratus

SHAH ALAM, 18 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berjaya menyelesaikan 105,928 aduan sejak 2023 hingga September lalu, sekali gus merekodkan kadar penyelesaian keseluruhan sebanyak 99.32 peratus.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata lima kategori utama aduan diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membabitkan penyelenggaraan jalan, pembersihan awam, penyelenggaraan pokok, lampu jalan dan gangguan anjing liar.

“Berdasarkan statistik tersebut, isu penyelenggaraan jalan dan kebersihan awam merupakan antara perkara yang memerlukan perhatian berterusan oleh MPKj.

“Peningkatan aduan bagi kategori tertentu turut menunjukkan keperluan untuk memperkukuh aspek penyelenggaraan infrastruktur, kebersihan persekitaran dan pengurusan kemudahan awam seiring dengan pertumbuhan kawasan perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Cheong Kian Young mengenai jumlah aduan terhadap MPKj pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata, MPKj berdepan beberapa cabaran utama dalam pengurusan aduan awam susulan peningkatan jumlah dan kepadatan penduduk akibat kepesatan pembangunan kawasan perumahan serta perindustrian.

Jelasnya, keadaan itu sekali gus menyebabkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan infrastruktur, pembersihan awam dan kemudahan perbandaran.

Justeru, katanya, tiga aspek utama perlu ditambahbaik seperti memperkukuh pemantauan dan tindakan susulan, mengutamakan tindakan penyelenggaraan bersasar serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Matlamat utama Kerajaan Negeri bukan sekadar mencapai kadar penyelesaian aduan yang tinggi, tetapi memastikan masalah yang dilaporkan dapat ditangani secara berkesan, mengurangkan kejadian berulang serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kesejahteraan penduduk secara berterusan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.