Peniaga rekod pematuhan baik bakal nikmati lesen dua tahun mulai 2027

16 Nov 2026, 11:00 AM
Peniaga rekod pematuhan baik bakal nikmati lesen dua tahun mulai 2027

SHAH ALAM, 16 NOV: Peniaga di Selangor yang mempunyai rekod pematuhan baik bakal menikmati tempoh sah lesen perniagaan selama dua tahun berbanding setahun sebelum ini, mulai Januari 2027.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata inisiatif di bawah Dasar Speed Rakyat itu bertujuan mengurangkan birokrasi, menjimatkan masa serta memudahkan urusan peniaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Dato' Menteri Besar telah mengarahkan supaya lesen perniagaan yang tiada masalah, tidak disenarai hitam dan mempunyai rekod baik diberikan kelulusan selama dua tahun.

"Ini satu anjakan baharu dan berita baik kepada semua peniaga. Mereka boleh membayar untuk tempoh dua tahun dan selepas itu barulah dinilai semula," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah penambahbaikan perkhidmatan PBT yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2027 Jumaat lalu.

Suee Lim berkata peniaga yang disenarai hitam masih boleh mengemukakan permohonan, namun proses kelulusan mungkin mengambil masa lebih lama kerana perlu melalui siasatan.

"Kalau selepas siasatan dia tiada masalah, boleh juga diberikan dua tahun. Tetapi kalau ada isu, sering dikenakan saman atau mempunyai banyak kesalahan, mungkin dia hanya boleh diberikan lesen setahun. Ini bergantung kepada pertimbangan PBT," jelasnya.

Beliau berkata semua PBT di Selangor akan menyelaraskan keupayaan masing-masing bagi memastikan pelaksanaan dapat dimulakan secepat mungkin.

"Kalau boleh, kita laksanakan 1 Januari. PBT perlu menyelaraskan kapasiti mereka untuk melaksanakan perkara ini secepat mungkin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Suee Lim berkata PBT turut diminta mempercepat kelulusan permit berskala kecil, termasuk permohonan penutupan jalan sementara bagi majlis perkahwinan dan aktiviti kemasyarakatan.

"Kalau permit kecil seperti permohonan menutup jalan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya, kita minta kalau boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam melalui pendigitalan," katanya.

Beliau turut menggesa semua PBT supaya lebih proaktif dalam mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2027, Kerajaan Negeri mengumumkan Dasar Speed Rakyat yang membolehkan pembaharuan lesen perniagaan dilanjutkan kepada dua tahun.

Kemudahan itu meliputi 122 jenis aktiviti perniagaan termasuk restoran, kedai makanan, kedai runcit, pasar mini, bengkel pembaikan kenderaan dan institusi pendidikan, tertakluk kepada syarat kelayakan PBT.

Selain itu, tempoh kelulusan permit penutupan jalan sementara bagi aktiviti kemasyarakatan, majlis perkahwinan dan kenduri akan dipendekkan daripada 14 hari kepada tiga hari.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.