SHAH ALAM, 20 MEI: Selangor terus memperkukuh komitmen terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG) apabila menyertai Forum Bandar Dunia ke-13 (WUF13) di Baku, Azerbaijan yang berlangsung dari 17 hingga 22 Mei ini.
Delegasi negeri diketuai Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor TPr Khairulzaman Ibrahim bersama wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anak syarikat Kerajaan Negeri.
Forum bertemakan Housing the World: Safe and Resilient Cities and Communities itu memberi fokus kepada isu perumahan, komuniti selamat dan pembangunan bandar berdaya tahan.
Dalam program berkenaan, Selangor turut melancarkan laporan Semakan Sub-Nasional Sukarela (VSR) 2 yang disediakan PLANMalaysia Selangor serta laporan Semakan Tempatan Sukarela (VLR) melibatkan beberapa PBT negeri.
Antara PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Selain itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Majlis pelancaran laporan itu disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim.
Selain itu, Khairulzaman turut menyertai sesi dialog bertajuk Localising Affordable Housing: Urban Manager’s Role in Delivering Inclusive Housing (National & State Level) bersama MPKj dan MPKS di Pavilion Malaysia pada 19 Mei.
Sesi itu membincangkan peranan pengurusan bandar dalam memastikan penyediaan perumahan mampu milik yang lebih inklusif dan mampan selaras dengan agenda pembangunan global.








