Saman fitnah: Alasan bergurau di media sosial belum tentu selamat

18 Nov 2026, 3:00 AM
Saman fitnah: Alasan bergurau di media sosial belum tentu selamat
Saman fitnah: Alasan bergurau di media sosial belum tentu selamat

SHAH ALAM, 18 NOV: Alasan sekadar bergurau ketika menulis komen atau membuat hantaran di media sosial tidak semestinya dapat menyelamatkan seseorang daripada tindakan saman fitnah sekiranya kandungan itu menjejaskan reputasi individu lain.

Peguam 'Ainnur Liyana Ya’akub berkata sesuatu kenyataan perlu dinilai berdasarkan konteks keseluruhan dan bagaimana masyarakat memahami maksud yang disampaikan, bukan hanya niat individu yang membuat hantaran.

Menurutnya, penggunaan sindiran, gambar atau pelekat digital (sticker) yang dianggap gurauan biasa juga boleh membawa maksud menghina atau merendahkan maruah seseorang.

“Kalau sebenarnya memang berniat nak buat tuduhan yang teruk, tapi lepas itu nak cover cakap ‘eh, saya bergurau je’, itu pun tak mungkin menyelamatkan orang yang 'post' benda itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor bertajuk “Fitnah Digital: Komen Makan Diri” baru-baru ini.

Pengasas Liyana & Co itu turut menjelaskan, individu yang merasakan reputasinya terjejas akibat sesuatu hantaran boleh mendapatkan khidmat peguam untuk menilai sama ada terdapat asas bagi memulakan tindakan saman fitnah.

Bagaimanapun katanya, bukan semua gurauan atau komen negatif secara automatik dianggap fitnah kerana mahkamah perlu meneliti kandungan, konteks dan maksud sesuatu kenyataan.

Rakaman Bicara Semasa bertajuk Fitnah Digital bersama Pengasas Liyana & Co 'Ainnur Liyana Ya'Akub di Studio MSSB, Shah Alam pada 11 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Di Malaysia, tindakan saman fitnah sivil boleh diambil berdasarkan prinsip undang-undang tort fitnah di bawah Akta Fitnah 1957.

Secara asasnya, individu yang memfailkan saman perlu membuktikan bahawa sesuatu kenyataan membawa maksud memfitnah, merujuk kepadanya dan telah disampaikan kepada pihak ketiga.

Selain tindakan sivil, fitnah juga boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, penyalahgunaan komunikasi melalui media sosial turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekiranya memenuhi unsur kesalahan yang diperuntukkan.

Antara kes yang pernah diputuskan mahkamah ialah saman fitnah oleh Foo Hiap Siong terhadap Chong Chin Hsiang berhubung penyebaran gambar suntingan bersama kenyataan menghina dalam dua kumpulan Facebook.

Pada 4 April 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Chong membayar ganti rugi RM50,000 serta kos RM20,000 selepas mendapati hantaran tersebut memfitnah dan menjejaskan reputasi Foo.

Mahkamah turut menolak hujah pembelaan yang menggunakan perbualan peribadi berunsur gurauan sebagai justifikasi terhadap penyebaran kenyataan berkenaan secara terbuka di Facebook.

Media sosial. Foto AI

Semak kesahihan sebelum kongsi

Mengulas lanjut, 'Ainnur Liyana mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak terburu-buru berkongsi tuduhan yang belum dipastikan kesahihannya.

Katanya, tindakan memetik atau berkongsi semula hantaran berunsur fitnah juga berpotensi menimbulkan tanggungjawab undang-undang, meskipun pengguna bukan individu yang menghasilkan kandungan asal.

Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan secara berkias atau tanpa menyebut nama masih boleh menimbulkan risiko saman fitnah sekiranya orang ramai dapat mengenal pasti individu yang dimaksudkan.

Justeru, pengguna media sosial dinasihatkan supaya berfikir panjang dan menyemak fakta sebelum membuat sebarang hantaran kerana tindakan yang dilakukan dalam beberapa saat boleh mengundang implikasi undang-undang berpanjangan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.