Ajar anak kenali batas tubuh sejak kecil

12 Nov 2026, 6:00 AM
Ajar anak kenali batas tubuh sejak kecil
Ajar anak kenali batas tubuh sejak kecil

SHAH ALAM, 12 NOV: Ibu bapa disaran mendidik anak mengenai keselamatan tubuh badan sejak kecil supaya mereka dapat mengenali batas sentuhan dan melindungi diri daripada risiko amang seksual.

Ahli Psikologi Klinikal Pusat Kaunseling Selangor, Sarah Aleesa Aguinaldo berkata pendidikan itu boleh dimulakan seawal anak mampu memahami percakapan, termasuk ketika mereka baru belajar bertutur.

“Kita tidak perlu untuk menunggu anak-anak kita masuk sekolah rendah ataupun akil baligh baru kita nak berikan mereka pendedahan terhadap tubuh badan, sentuhan selamat dan tidak selamat.

“Sebaiknya seawal anak-anak itu dah boleh faham apa yang kita cakapkan, dia boleh bercakap satu-satu perkataan pun kita dah boleh ajar sebenarnya,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Ahli Psikologi Klinikal Pusat Kaunseling Selangor, Sarah Aleesa Aguinaldo. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Sarah, kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun boleh diperkenalkan dengan nama anggota tubuh serta bahagian peribadi yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya.

Beliau turut menyarankan penggunaan istilah anatomi yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan ketika membincangkan anggota tubuh dengan anak.

“Sebaik-baiknya daripada kecil kita menggunakan perkataan-perkataan yang saintifik ataupun spesifik dan tidak digantikan dengan perkataan-perkataan yang seolah-olah menutup perkara tersebut.

“(Ini) Supaya kanak-kanak ini dari kecil mereka faham sebenarnya tempat ini adalah tempat yang sangat privasi dan tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya oleh orang lain,” jelasnya.

Sentuhan yang dianggap biasa perlu diberi perhatian bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dan mengelakkan risiko eksploitasi seksual. Foto hiasan AI

Apabila memasuki sekolah rendah dan menengah, beliau berkata, pendidikan keselamatan diri perlu diperluas kepada tindakan ketika berdepan situasi tidak selamat, termasuk menolak permintaan menghantar gambar tidak wajar serta mengetahui individu yang boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Sarah mengingatkan bahawa pesanan supaya menjauhi orang asing sahaja tidak mencukupi kerana ancaman amang seksual juga boleh datang daripada individu dikenali seperti jiran, saudara-mara atau guru.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar menghormati keselesaan anak dalam interaksi harian, termasuk tidak memaksa mereka bersalam dengan orang dewasa sekiranya berasa tidak selesa.

“Sebenarnya untuk kita tunjuk hormat kita terhadap orang dewasa ini, orang lebih tua, ada banyak benda lain lagi selain daripada salam,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.