240 lokasi internet perlahan di Selangor, SKMM diminta ambil tindakan

17 Nov 2026, 7:52 AM
240 lokasi internet perlahan di Selangor, SKMM diminta ambil tindakan
240 lokasi internet perlahan di Selangor, SKMM diminta ambil tindakan

SHAH ALAM, 17 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta memastikan syarikat telekomunikasi meningkatkan kualiti perkhidmatan internet di 240 lokasi di Selangor yang dikenal pasti tidak mencapai standard kelajuan ditetapkan.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah berkata arahan itu susulan hasil Program Bulan Speedtest Selangor yang berlangsung dari 16 September hingga 15 Oktober lalu.

Menurutnya, sebanyak 94,998 ujian kelajuan internet direkodkan sepanjang tempoh berkenaan, dengan liputan ujian merangkumi kira-kira 91 peratus kawasan berpenduduk di Selangor.

“Kaedah yang dilaksanakan menerusi crowdsourcing di mana rakyat digalakkan memuat turun aplikasi MCMC NEXUS dan menjalankan ujian kelajuan internet berdasarkan lokasi masing-masing.

“Jadi, sukacita saya maklumkan bahawa setelah habisnya program tersebut, lebih kurang 91 peratus daripada kawasan berpenduduk di negeri Selangor telah pun diuji menggunakan kaedah ini.

“Daripada bilangan ujian yang dibuat, lebih kurang 94,998 ujian kelajuan internet telah direkodkan di seluruh Selangor dalam tempoh masa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Annexe, Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Fahmi berkata hasil pemetaan mengenal pasti kira-kira 240 lokasi yang tidak mencapai Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) ditetapkan SKMM.

Menurutnya, lokasi terbabit bukan sahaja melibatkan kawasan luar bandar, malah kawasan bandar yang mempunyai kepadatan pengguna internet tinggi.

Antara kawasan yang merekodkan purata kelajuan internet terendah ialah Sepang, khususnya di kawasan pembangunan perumahan baharu.

“Jadi, buat kali pertama SKMM mempunyai pemetaan sebegitu untuk mensyaratkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan internet di Selangor meningkatkan tahap kualiti tersebut,” katanya.

Untuk rekod, SKMM melancarkan aplikasi mudah alih MCMC NEXUS pada Mac lalu bagi membolehkan pengguna menjalankan ujian kelajuan internet secara masa nyata.

Aplikasi itu turut membantu pengumpulan data prestasi rangkaian bagi tujuan pemantauan dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan internet di seluruh negara.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.