CYBERJAYA, 11 NOV: Sebanyak 94,998 ujian kelajuan Internet direkodkan menerusi Program Bulan Speed Test Selangor 2026 sekali gus membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menilai prestasi rangkaian serta mengenal pasti kawasan memerlukan penambahbaikan kualiti perkhidmatan Internet di Selangor.
Program anjuran SKMM Selangor yang berlangsung dari 16 Sept hingga 15 Okt itu melibatkan 1,746 peserta dengan 29,412 penyertaan direkodkan menerusi aplikasi MCMC NEXUS.
SKMM memaklumkan data yang dikumpulkan memberikan gambaran awal mengenai pengalaman pengguna dan prestasi rangkaian di lokasi ujian yang dilaksanakan.
“Data tersebut akan dimanfaatkan SKMM dengan kerjasama kerajaan negeri dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk meneliti jurang kualiti perkhidmatan di kawasan bandar, pinggir bandar, perindustrian, institusi pendidikan, kampung tradisional, Kampung Orang Asli dan kawasan pembangunan baharu.
“Dapatan ini turut menjadi asas untuk mengenal pasti lokasi keutamaan bagi penilaian lanjut dan tindakan penambahbaikan yang lebih bersasar,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis penyampaian hadiah Program Bulan Speed Test Selangor 2026 yang disempurnakan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah di sini hari ini.
Susulan itu, SKMM Selangor akan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi menangani isu prestasi rangkaian yang kurang memuaskan atau tidak memenuhi piawaian kualiti perkhidmatan di lokasi yang dikenal pasti.
Pemantauan dan pengujian rangkaian secara berkala juga akan diteruskan di lokasi strategik serta kawasan tumpuan utama di seluruh Selangor bagi memastikan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan Internet terus dipertingkatkan.
SKMM akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak industri bagi memastikan dapatan program itu diterjemahkan kepada tindakan penambahbaikan yang berkesan, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna Internet di seluruh Selangor.
Sementara itu, Mohammad Fahmi dalam ucapannya berkata program yang dilaksanakan SKMM itu berjaya menjalankan ujian kelajuan Internet di 91 peratus kawasan berpenduduk di Selangor dalam tempoh sebulan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan SKMM mempertimbangkan pelaksanaan standard minimum kelajuan Internet 300 Mbps di kawasan awam di Selangor sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan.
Seorang pemenang kategori ujian liputan terpantas, Mohd Sukri Samsuddin, 41, berharap kadar kelajuan Internet di Selangor dapat ditingkatkan melalui dapatan program Bulan Speed Test Selangor 2026.
“Terima kasih kepada SKMM kerana membuka peluang kepada rakyat negeri Selangor bukan sahaja untuk menyertai pertandingan ini tetapi untuk membuka ruang dan peluang kepada syarikat telekomunikasi (telco) memperbaiki lagi capaian di Selangor,” katanya.
Muhammad Ikmal Rozlan yang menjuarai kategori bilangan penyertaan terbanyak pula berkata program itu membuka peluang untuk semua pihak membantu memastikan capaian Internet di Selangor menjadi lebih baik.
“Saya rasa inisiatif ini bagus sebab bantu SKMM cari lokasi capaian Internet yang lemah di Selangor (untuk diperbaiki),” kata pemuda berusia 29 tahun itu.







