KUALA LUMPUR, 3 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan berhubung satu kandungan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook yang disyaki mengandungi unsur jelik melampau terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kandungan berkenaan turut menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Menurut kenyataan itu, rakaman percakapan individu terbabit telah dijalankan di Balai Polis Sri Petaling bagi membantu siasatan.
SKMM memaklumkan, satu unit telefon bimbit bersama satu kad SIM turut disita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“SKMM memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau unsur penghinaan terhadap institusi diraja, khususnya kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab dan tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara.







