SHAH ALAM, 17 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melantik TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat bagi mereka bentuk, melaksana dan mengendalikan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan projek yang dibiayai menerusi Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu bertujuan meningkatkan kapasiti sambungan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Selain memperkukuh hubungan digital, sistem berkenaan turut menyediakan laluan alternatif bagi trafik data bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami kerosakan.
“Ia sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan digital yang lebih andal kepada komuniti, perniagaan dan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Sistem sepanjang kira-kira 5,500 kilometer itu akan menggunakan teknologi kabel dasar laut Alcatel Submarine Networks (ASN) dan dilaksanakan oleh TM.
Keperluan terhadap infrastruktur baharu itu semakin mendesak apabila penggunaan kapasiti rangkaian kabel dasar laut sedia ada yang beroperasi sejak 2017 kini mencecah kira-kira 85 peratus.
Projek SALAM turut merangkumi pembinaan 10 stesen pendaratan kabel dasar laut baharu, iaitu Cherating dan Sedili di Semenanjung Malaysia; Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju) di Sarawak; serta Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.
Kapasiti tambahan itu dijangka menyokong peluasan jalur lebar dan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data, sekali gus memperkukuh peluang ekonomi digital, khususnya di Sabah dan Sarawak.
SKMM memaklumkan empat pasangan gentian optik akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara, termasuk infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber.
“SALAM mencerminkan komitmen SKMM dalam memperkukuh infrastruktur digital Malaysia agar lebih banyak komuniti dan perniagaan dapat menikmati manfaat ekonomi digital,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan projek berkenaan dijadualkan bermula pada pertengahan Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini bermula semalam, menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara TM dengan ASN di Bangunan Sultan Abdul Samad.








