Lebih 94,000 ujian kelajuan Internet direkod di Selangor

12 Nov 2026, 10:00 AM
Lebih 94,000 ujian kelajuan Internet direkod di Selangor
Lebih 94,000 ujian kelajuan Internet direkod di Selangor

SHAH ALAM, 12 NOV: Sebanyak 94,998 ujian kelajuan Internet direkodkan menerusi Program Bulan Speed Test Selangor 2026 yang berlangsung dari 16 September hingga 15 Oktober lalu.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah berkata program itu melibatkan 1,746 peserta dengan 29,412 penyertaan melalui aplikasi mudah alih MCMC Nexus.

“Sehingga kini, 91.1 peratus kawasan berpenduduk di Selangor telah diuji melalui aplikasi MCMC Nexus.

“Usaha ini wajar diteruskan bagi mencapai sasaran pengujian 99 peratus kawasan berpenduduk di Selangor, sekali gus memastikan pemantauan kualiti perkhidmatan Internet yang lebih menyeluruh,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Untuk rekod, MCMC Nexus dibangunkan oleh pasukan teknikal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan pengguna membuat ujian kelajuan muat turun, muat naik, ping dan jitter untuk rangkaian 4G, 5G dan Wi-fi.

Antara ciri utama lain adalah fungsi 'route survey' dan 'building survey' di mana pengumpulan data berdasarkan lokasi sebenar termasuk dalam bangunan dan sepanjang laluan pengguna dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata data ujian kelajuan Internet tersebut akan dimanfaatkan oleh SKMM bersama Kerajaan Negeri dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Jelasnya, inisiatif itu bagi mengenal pasti jurang kualiti perkhidmatan serta lokasi keutamaan bagi tindakan penambahbaikan yang lebih bersasar di seluruh Selangor.

“SKMM akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pihak industri bagi memastikan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan Internet terus dipertingkatkan,” katanya.

Mac lalu, SKMM melancarkan aplikasi mudah alih, MCMC Nexus untuk mengukur prestasi Internet secara masa nyata, sekali gus membantu kerajaan dalam merencana pemmbangunan bagi memperkukuh ekosistem digital negara.

Melalui aplikasi itu, kualiti rangkaian bukan hanya dapat dipantau secara lebih berkesan, malah data liputan rangkaian turut dikumpul secara masa nyata dan dihantar terus kepada SKMM untuk tindakan lanjut.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.