Hampir 10,000 remaja, belia sertai program keagamaan JAIS

17 Nov 2026, 5:47 AM
Hampir 10,000 remaja, belia sertai program keagamaan JAIS
Hampir 10,000 remaja, belia sertai program keagamaan JAIS

SHAH ALAM, 17 NOV: Program keagamaan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi Protokol Institusi Masjid mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan keseluruhan 9,885 remaja dan belia di seluruh Selangor.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata daripada jumlah itu, seramai 2,210 remaja dan belia menyertai program peringkat negeri manakala 7,675 lagi di peringkat daerah.

“Berdasarkan pelaksanaan program Protokol Institusi Masjid yang dianjurkan JAIS, pengiraan keseluruhan penyertaan anak muda merentasi program peringkat negeri dan sembilan daerah di Selangor merekodkan jumlah sambutan yang sangat memberangsangkan.

“Seramai 2,210 remaja dan belia menyertai program di peringkat negeri manakala 7,675 remaja dan belia menyertai program di peringat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi mengenai status penyertaan anak muda dalam aktiviti masjid pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ketika persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam pada 17 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Untuk rekod, Protokol Institusi Masjid merupakan protokol yang dicipta sebagai salah satu hala tuju JAIS selain usaha strategik jangka panjang dan berimpak tinggi untuk mendekatkan golongan belia kepada penghayatan ajaran agama Islam.

Melalui Protokol Institusi Masjid, pelbagai modul yang interaktif dan relevan dengan cabaran semasa seperti aktiviti rekreasi dakwah, wacana isu sosial, kepimpinan belia dan pemantapan ilmu fardhu ain.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Protokol Institusi Masjid juga menjadikan masjid sebagai pusat ilmu melalui pelaksanaan pembelajaran formal remaja dengan melaksanakan Kelas KAFA Menengah (KKM) secara khusus di institusi masjid.

Menurutnya, KKM menyediakan saluran pengajian agama kepada murid sekolah menengah yang berminat mendalami ilmu agama tetapi tidak mendapat tawaran ke Sekolah Agama Menengah (SAM) Negeri atau Persekutuan selepas tamat sekolah rendah agama (PSRA).

“Jumlah pelajar KKM anjuran JAIS setakat bulan Oktober ini, Kelas KAFA Menengah dilaksanakan di 28 lokasi masjid dengan penyertaan seramai 484 pelajar seluruh Selangor.

“Selain KKM, masjid juga menjalankan usaha memberikan ilmu bimbingan al-Quran seperti Program Pengajian Al-Quran Remaja, Program Bimbingan Kelas al-Quran di Masjid, Kelas Iqra' (Bimbingan Asas Bacaan al-Quran) serta Program Bimbingan Kelas al-Quran Pelajar Tingkatan 5,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.