
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Selangor akan mengkaji semula elaun bulanan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada Jun tahun depan.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata kajian itu seiring pengumuman Putrajaya menaikkan kadar gaji minimum dari RM1,700 kepada RM2,000.
"Gaji guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau KAFA yang akan ditingkatkan menjadi RM1,700 mulai bulan Januari tetapi dalam Jun kita akan kaji untuk menaikkan selaras langkah federal menaikkan hingga RM2,000.
"Nampak gayanya, kita akan melaksanakan belanjawan tambahan," katanya ditemui pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, hari ini.
Ketika membentang belanjawan 2027, Amirudin mengumumkan elaun guru KAFA di Selangor dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM1,700 berbanding RM1,500 ketika ini, berkuat kuasa Januari 2027.
Jelasnya, kenaikan itu bakal memberi manfaat kepada 7,245 guru KAFA lantikan Kerajaan Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta.
Menurutnya, Kerajaan Selangor sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru-guru KAFA sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.






