RAWANG, 27 JUN: Permohonan pensijilan halal di Selangor terus menunjukkan peningkatan susulan tempoh kelulusan yang dipendekkan kepada kurang 30 hari berbanding 60 hari sebelum ini, EXCO industri halal.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata usaha mempercepat proses pensijilan itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memudah cara urusan pengusaha, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Untuk permohonan kali pertama disebabkan proses itu sudah disingkatkan saya rasa kita menerima peningkatan dari segi permohonan yang ada.
“Kita masukkan juga proses-proses saringan awal supaya pemohon-pemohon itu mendapat sedikit keyakinan bahawa akan masuk proses dan dapat…dia tidak ada lagi sebelum ni dia masuk tu hit and miss tanpa sebarang gambaran yang dia akan lulus atau gagal,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Karnival Agensi Islam Selangor Zon 1 di Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes di sini semalam.
Menurutnya lagi, setelah memperoleh sijil halal, pihaknya akan memastikan usahawan terus kekal memilikinya supaya perniagaan berkembang ke pasaran luar.
Sebelum ini, pada sidang Dewan Negeri Selangor, Mohammad Fahmi memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksana inisiatif segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM 2.0) bagi mempercepatkan proses pensijilan halal.
Jelasnya, permohonan sijil halal yang memenuhi kriteria ditetapkan melalui ISPHM 2.0 berjaya mempercepatkan proses kelulusan sijil halal dalam tempoh kurang 30 hari berbanding 60 hari sebelum ini.






