Selangor pasang CCTV di 551 sekolah agama cegah jenayah, buli

14 Nov 2026, 2:00 AM
Selangor pasang CCTV di 551 sekolah agama cegah jenayah, buli

SHAH ALAM, 14 NOV: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 551 sekolah agama di Selangor merupakan langkah pencegahan awal bagi menangani risiko jenayah, pencerobohan dan gejala buli, sekali gus menjamin keselamatan warga sekolah.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah berkata langkah itu diambil bagi memastikan persekitaran sekolah agama kekal selamat dan terpelihara daripada sebarang ancaman.

Menurutnya, keadaan keselamatan di sekolah agama ketika ini masih terkawal, namun langkah pencegahan perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal, tetapi kita mengambil langkah berjaga-jaga awal menerusi pemasangan CCTV bagi mengekang isu keselamatan dan kejadian jenayah daripada berlaku di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2027 di Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menerusi Belanjawan Selangor 2027 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM500,000 bagi pemasangan sistem CCTV bersepadu di seluruh 551 sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Peruntukan menggunakan dana sedia ada JAIS itu disalurkan menerusi Inisiatif Sekolah Agama Selamat bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat, khususnya daripada ancaman pencerobohan dan buli.

Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih 292 sekolah KAFA Integrasi (KAFAI) yang uzur di seluruh Selangor pada 2027.

Pelaksanaan kerja berkenaan akan diselaraskan JAIS bagi memastikan prasarana pendidikan agama berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berharap penambahbaikan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dapat meningkatkan motivasi serta komitmen mereka dalam memastikan kualiti pendidikan agama terus terpelihara.

“Kita berharap peningkatan elaun ini dapat memberi semangat kepada guru KAFA untuk terus komited mengekalkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah agama di Selangor,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2027, Kerajaan Negeri mencadangkan kenaikan elaun bulanan guru KAFA sebanyak RM200, daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Januari depan.

Kenaikan itu bakal memanfaatkan 7,245 guru KAFA lantikan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), membabitkan peruntukan tambahan RM14 juta.

Kerajaan Negeri turut merancang untuk meningkatkan elaun berkenaan kepada RM2,000, selaras dengan penyelarasan kadar gaji minimum Persekutuan yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan bagi Jun 2027.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.