Anak tempatan kelahiran Kuala Kubu Bharu (KKB) membuktikan anak desa mampu menjadi usahawan berdaya maju jika diberi peluang dan sokongan.
Minat Mohamed Haiesyal tumbuh sejak darjah enam lantaran kerap membantu ibunya menyediakan makanan di DAM Cafe yang dibina ibunya kira-kira 15 tahun lalu.
"Awalnya saya tolong-tolong mak masak. Lama-kelamaan kemahiran itu turun kepada saya. Sekarang mak sudah tak larat sangat dan dia serahkan 100 peratus kepada saya.
"Masakan pertama yang saya cuba ialah gulai ikan tongkol sebab setiap pagi saya tengok emak buat dan bantu ambil bahan. Lama-lama, semuanya saya ingat," katanya kepada Media Selangor.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memulakan rutin seawal jam 4 pagi bagi menyediakan sarapan sebelum kembali ke dapur sekitar jam 8.30 pagi untuk memasak hidangan tengah hari.
Keluarganya juga ada memohon pembiayaan HIJRAH Selangor berjumlah RM20,000 untuk memperluas ruang kedai sebelum membuat pembiayaan lain sebanyak RM10,000.
"Sebelum ini saya ada bertanya dengan dua atau tiga bank tetapi tidak diluluskan. Kalau HIJRAH lebih mudah, apa yang diminta diberi, dalam masa seminggu boleh lulus," katanya.
Beliau yang pernah menjalankan perniagaan kelulut turut memasang impian membuka kafe berkonsep kopi dan pastri di KKB bagi mengembangkan perniagaan.

Seorang lagi peniaga, Siti Nurnadirah Radzulai, 39, pula menjual otak-otak di tepi jalan sebelum mengusahakan pizza dari rumah melalui dalam talian pada 2018. Selepas dua tahun, jualan merosot. Beliau kemudian memilih menjual takoyaki pada 2023 atas jenama Sensei Takoyaki.
"Apabila perniagaan jatuh, saya cari peluang apa lagi untuk saya naik. Pada 2023, saya tengok takoyaki di KKB tidak ada, jadi saya cuba mulakan perniagaan takoyaki pula. Alhamdulillah dapat sambutan," katanya.
Siti memperluas jualan ke pasar malam dan menambah menu sarapan bagi mengelak bergantung pada satu produk. Langkah itu berhasil ekoran jualan harian mencecah RM600 hingga RM700 sehari.
"Dulu RM100 pun susah nak dapat sebab saya mengharapkan takoyaki hanya di kedai. Tak boleh macam itu, saya perlukan pelbagai menu," kata ibu empat anak itu.
Siti Nurnadirah turut memperoleh pembiayaan HIJRAH RM5,000 diikuti RM10,000. Beliau juga menyertai latihan keusahawanan berkaitan pengurusan perniagaan dan memperkenal kemudahan itu kepada beberapa rakannya.
"Terima kasih kepada Hijrah Selangor kerana memberi semangat dan sumbangan yang membantu saya menampung perniagaan untuk berkembang menjadi lebih maju dan berjaya," katanya.
Beliau yang kini hanya berniaga di KKB merancang memperluas jualan ke pasar malam sekitar Hulu Selangor termasuk Kalumpang dan Bukit Beruntung.








