233 nelayan, awak-awak terjejas projek Pantai Morib bakal terima pampasan

17 Nov 2026, 3:39 AM
233 nelayan, awak-awak terjejas projek Pantai Morib bakal terima pampasan

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 233 nelayan dan awak-awak yang terjejas akibat projek naik taraf Pantai Morib bakal menerima pampasan berjumlah RM1.998 juta secara berperingkat bermula hujung tahun ini.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berkata pembayaran pampasan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan sebahagian disalurkan tahun ini manakala bakinya pada tahun hadapan.

Katanya, peruntukan berjumlah RM1.99839 juta itu disediakan menerusi peruntukan pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak bagi membantu golongan yang terjejas akibat pelaksanaan projek berkenaan.

"Seramai 233 nelayan dan awak-awak terkesan dengan pelaksanaan projek hakisan pantai yang telah siap dan dilancarkan. Tuntutan berjumlah RM1.99839 juta dipohon menggunakan peruntukan pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak.

"Bayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh dua tahun, iaitu sebahagian tahun ini dan selebihnya tahun hadapan. Proses pindahan bayaran bagi tahun ini melalui Agrobank sedang dilaksanakan dan dijangka selesai dalam masa seminggu dua ini," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung bayaran pampasan kepada pihak terjejas akibat projek naik taraf Pantai Dato' Seri Harun pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pembukaan semula Pantai Morib menyusuli pelaksanaan projek pemuliharaan bernilai RM60.5 juta selepas kawasan berkenaan terjejas akibat fenomena air pasang besar pada September 2020.

Projek itu merangkumi kerja penambahan pasir, pembinaan tembok laut, sistem saliran, pemecah ombak dan suar pemandu bagi meningkatkan keselamatan serta daya tahan kawasan pantai.

Selain mengurangkan risiko hakisan dan banjir, projek berkenaan turut dijangka meningkatkan daya tarikan Pantai Morib sebagai destinasi pelancongan.

Selepas Pantai Morib, Kerajaan Negeri merancang melaksanakan tiga lagi projek pemuliharaan pantai di Kuala Langat dengan anggaran peruntukan RM55 juta di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Projek di Pantai Kampung Endah, Pantai Batu Laut dan Pantai Tumbuk itu bertujuan mengurangkan risiko hakisan serta banjir pantai, khususnya ketika fenomena air pasang besar.

Dalam perkembangan berasingan, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang merancang beberapa kaedah bagi membantu golongan nelayan supaya tidak bergantung sepenuhnya dengan hasil laut.

"Banyak program dan bantuan kita laksana, tetapi kita kini sedang memikirkan kaedah lain yang boleh bantu sama ada asas tani, tidak mahu nelayan bergantung hasil laut semata-mata.

"Kita kini sedang tengok beberapa tempat untuk diusahakan bagi menambah baik pendapatan mereka," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.