Dataran Harun Idris di Pantai Morib abadikan sejarah bekas MB

11 Okt 2026, 8:00 AM
Dataran Harun Idris di Pantai Morib abadikan sejarah bekas MB
Dataran Harun Idris di Pantai Morib abadikan sejarah bekas MB
Dataran Harun Idris di Pantai Morib abadikan sejarah bekas MB

BANTING, 11 OKT: Nama bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Dato’ Seri Harun Idris diabadikan pada sebuah dataran di Pantai Morib sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada negeri itu, selain hubungan sejarahnya dengan daerah Kuala Langat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Amri Ismail berkata hubungan Allahyarham dengan daerah itu bermula pada 1951 ketika berkhidmat sebagai Majistret Kuala Langat.

Menurutnya, Allahyarham kemudian meninggalkan perkhidmatan awam pada 1964 untuk menceburi politik dan memilih Morib sebagai kawasan yang diwakilinya sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun sama.

“Pada tahun 1964, perjalanan hidup beliau telah berubah, Allahyarham telah meninggalkan perkhidmatan awam dan memilih untuk menawarkan khidmat melalui arena politik. Dan bumi yang dipilihnya ialah Morib.

“Rakyat Morib memberikan mandat kepada beliau, dan daripada mandat rakyat Morib itulah, pada tahun yang sama Allahyarham kemudiannya diberikan amanah sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada majlis santapan selepas perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris di Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS), Pantai Morib, hari ini.

Amri berkata Allahyarham menerajui pentadbiran Selangor selama kira-kira 12 tahun dari 1964 hingga 1976 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melihat pantai Morib di menara tinjau sempena majlis Perasmian Dan Penamaan Dataran Dato' Seri Harun Idris di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 11 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Antara sumbangan beliau termasuk pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 1964 serta penubuhan Yayasan Selangor pada 1970 bagi memperluas peluang pendidikan kepada anak negeri, khususnya golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, sejarah pentadbiran Allahyarham turut mempunyai kaitan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang pernah menimba pengalaman dalam pentadbiran negeri ketika beliau menjadi Menteri Besar.

Pada 1969, Baginda yang ketika itu menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden Majlis Pemangku Raja Selangor turut menyampaikan surat pelantikan kepada Allahyarham sebagai Menteri Besar.

“Sejarah hari ini terasa begitu dekat kerana ia bukan sekadar cerita seorang Mantan Menteri Besar Selangor, tetapi perjalanan sebuah zaman ketika Almarhum ayahanda Tuanku menaungi negeri ini semasa Allahyarham Dato’ Seri Harun Idris memimpin Kerajaan Negeri.

“Dan pada hari ini, dengan limpah perkenan Duli Yang Maha Tuanku, nama beliau kembali diabadikan di bumi Morib,” katanya.

Dalam pada itu, Amri berkata usaha menaik taraf Pantai Morib turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan keselamatan pengunjung tanpa mengetepikan sejarah serta identiti kawasan berkenaan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris bersempena pembukaan semula Pantai Morib selepas menjalani projek pemuliharaan bernilai RM60.5 juta.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.