Kenangan lama, permulaan baharu di Pantai Morib

27 Jun 2026, 2:32 AM
Kenangan lama, permulaan baharu di Pantai Morib
Kenangan lama, permulaan baharu di Pantai Morib
Kenangan lama, permulaan baharu di Pantai Morib
Kenangan lama, permulaan baharu di Pantai Morib

SHAH ALAM, 27 JUN: Projek naik taraf Pantai Morib yang menghampiri fasa akhir dinantikan orang ramai untuk dibuka semula, dengan harapan kebersihan dan kemudahan disediakan terus dipelihara.

Tinjauan Media Selangor baru-baru ini mendapati pantai peranginan itu kekal menjadi destinasi pilihan keluarga untuk beriadah pada hujung minggu, meskipun kerja pembinaan masih berjalan.

Pengunjung tetap Sybleeshah Kaniah, 29, berkata beliau sering berkunjung ke Pantai Morib bersama keluarga, terutama ketika berlangsungnya festival mingguan yang diadakan di kawasan berkenaan.

Sybleeshah Kaniah, pengunjung tetap Pantai Morib, menggesa orang ramai tidak membuang sampah di kawasan pantai.

Beliau yang bekerja sendiri berkata pantai itu bukan sekadar lokasi rekreasi, malah menjadi tempat mengeratkan hubungan kekeluargaan sejak sekian lama. Justeru, beliau berharap setiap pengunjung memainkan peranan menjaga kebersihan dan memelihara kawasan pantai.

“Setiap minggu ada pelbagai festival di sini dan memang sangat meriah. Kami selalu datang bersama keluarga. Pengalamannya memang menyeronokkan.

“Jagalah kebersihan alam sekitar. Jangan buang sampah merata-rata. Membawa keluarga dan meluangkan masa bersama sudah cukup bermakna,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Langat Mohd Hasrulhisham Abdullah memaklumkan projek pemulihan Pantai Morib bernilai RM47 juta kini dalam peringkat akhir pelaksanaan.

Jurutera JPS Daerah Kuala Langat IR Mohd Hasrulhisham Abdullah (tengah) bersama Jurutera MPKL Ir Khairul Darini (kiri) dan Penyelaras DUN Morib, Mohd Safiee Harun (kanan) melihat keadaan persisiran pantai yang terhakis ketika tinjauan di Pantai Morib, Kuala Langat pada 28 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, kawasan berkenaan hanya akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai selepas semua kerja di tapak diselesaikan walaupun projek itu disasarkan siap pada 1 Julai.

Bagi Nur Zuharmawati Baharun, 39, projek naik taraf itu memberi nafas baharu kepada Pantai Morib, terutama pembinaan jambatan baharu yang diyakini bakal menjadi tarikan utama kawasan tersebut.

Penolong penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor itu turut berharap kemudahan yang ditambah baik mampu menarik lebih ramai pengunjung sekali gus merancakkan ekonomi peniaga tempatan.

Nur Zuharmawati Baharun teruja untuk melihat 'jambatan cendawan' yang baharu dibina di Pantai Morib.

“Saya tidak sabar untuk melihat 'jambatan cendawan' di sana kerana sebelum ini tiada tarikan seperti itu. Ia pasti menjadi daya tarikan kepada saya dan pengunjung lain.

“Saya harap lebih ramai orang akan datang supaya mereka dapat menyokong peniaga tempatan dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di sini,” katanya.

Pengunjung kali pertama Davis Michael, 36, kagum dengan pembangunan yang sedang dilaksanakan dan berhasrat membawa keluarganya ke Pantai Morib pada masa akan datang selain memperkenalkan destinasi itu kepada rakan-rakan.

Davis Michael berpendapat Pantai Morib wajar diberi pengiktirafan lebih meluas dan berharap projek naik taraf itu mampu menarik lebih ramai pelancong

Penolong pengarah JKDM itu turut mencadangkan supaya usaha promosi dipertingkat bagi menjadikan Pantai Morib antara destinasi pelancongan tempatan yang lebih dikenali.

“Ini kali pertama saya datang ke sini dan saya sangat kagum. Kemudahan sedia ada memang cantik, malah saya difahamkan benteng yang sedang dibina akan menjadi antara tarikan kepada pelancong.

“Saya berharap kemudahan di Pantai Morib akan diselenggara dengan baik. Kita perlukan pelancong dari luar kawasan datang menikmati keindahan tempat ini,” katanya ketika ditemui di gerai makanan di kawasan pantai baru-baru ini.

Salmawati Jais mengimbau nostalgia Pantai Morib suatu ketika dahulu, namun berbangga dengan perubahan yang dilalui destinasi itu

Bagi pesara, Salmawati Jais, 61, projek naik taraf itu mengembalikan nostalgia apabila beliau merancang membawa anak-anaknya kembali ke Pantai Morib bagi mengimbau kenangan ketika mereka masih kecil, selain melihat sendiri wajah baharu pantai berkenaan.

“Saya rindu suasana lama di sini. Insya-Allah, kami mahu mengimbau kembali kenangan bersama keluarga. Pada masa sama, saya mahu menunjukkan kepada anak-anak betapa banyak perubahan yang telah berlaku dan betapa cantiknya tempat ini sekarang,” katanya.

Salmawati berharap Pantai Morib terus berkembang sebagai destinasi pelancongan yang meriah, mampan dan menjadi kebanggaan bukan sahaja penduduk Kuala Langat, malah seluruh rakyat Malaysia.

“Saya berharap Pantai Morib menjadi lebih meriah, kekal sebagai destinasi yang mampan dan semakin dikenali bukan sahaja di Kuala Langat, tetapi di seluruh Malaysia. Semoga lebih ramai pengunjung akan datang menikmati keindahan pantai ini,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.