Selangor rancang laksana tiga projek pemuliharaan pantai bernilai RM55 juta

11 Okt 2026, 5:48 AM
Selangor rancang laksana tiga projek pemuliharaan pantai bernilai RM55 juta
Selangor rancang laksana tiga projek pemuliharaan pantai bernilai RM55 juta
Selangor rancang laksana tiga projek pemuliharaan pantai bernilai RM55 juta
Selangor rancang laksana tiga projek pemuliharaan pantai bernilai RM55 juta

BANTING, 11 OKT: Kerajaan Negeri merancang melaksanakan tiga lagi projek pemuliharaan pantai di Kuala Langat dengan anggaran peruntukan RM55 juta di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Projek di Pantai Kampung Endah, Pantai Batu Laut dan Pantai Tumbuk itu bertujuan mengurangkan risiko hakisan serta banjir pantai, khususnya ketika fenomena air pasang besar.

Menurut kenyataan media bersempena Majlis Perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris di Pantai Morib hari ini, sebanyak RM15 juta dianggarkan bagi projek di Pantai Kampung Endah yang merangkumi kerja kawalan hakisan dan penambahan pasir.

Sementara itu, projek di Pantai Batu Laut dianggarkan menelan kos RM20 juta, melibatkan kerja kawalan hakisan dan menaik taraf benteng pantai bagi memperkukuh perlindungan kawasan pesisir.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plat perasmian majlis Perasmian Dan Penamaan Dataran Dato' Seri Harun Idris di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 11 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Projek di Pantai Tumbuk pula melibatkan anggaran RM20 juta bagi kerja kawalan hakisan dan penambahan pasir untuk mengurangkan kesan fenomena air pasang besar.

Ketiga-tiga projek berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri memperkukuh perlindungan kawasan pesisir, khususnya lokasi yang terdedah kepada risiko hakisan dan banjir.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris yang dinamakan sempena bekas Dato’ Menteri Besar Selangor itu, bersempena pembukaan semula Pantai Morib, hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad serta cucu dan cicit Allahyarham Harun.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan bergambar bersama di Pantai Morib sempena majlis Perasmian Dan Penamaan Dataran Dato' Seri Harun Idris di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 11 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pembukaan semula Pantai Morib menyusuli pelaksanaan projek pemuliharaan bernilai RM60.5 juta selepas kawasan berkenaan terjejas akibat fenomena air pasang besar pada September 2020.

Projek itu merangkumi kerja penambahan pasir, pembinaan tembok laut, sistem saliran, pemecah ombak dan suar pemandu bagi meningkatkan keselamatan serta daya tahan kawasan pantai.

Selain mengurangkan risiko hakisan dan banjir, projek berkenaan turut dijangka meningkatkan daya tarikan Pantai Morib sebagai destinasi pelancongan.

Pada Julai lalu, Amirudin memaklumkan tujuh projek pembangunan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bernilai kira-kira RM83 juta siap dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir dan hakisan di beberapa kawasan Selangor.

Projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor itu merangkumi kerja menaik taraf sungai serta pengukuhan benteng di beberapa lokasi termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Morib.

Antara projek yang telah siap ialah kerja pengukuhan tebing Sungai Penchala bernilai RM4.29 juta, naik taraf Sungai Kemensah (RM9.4 juta), projek kawalan dan pengukuhan benteng di Pantai Sungai Haji Dorani (RM2.62 juta) serta projek kawalan dan pengukuhan benteng Pantai Batu 23 (RM1.79 juta).

Turut siap ialah projek kawalan hakisan di Kuala Selangor bernilai RM4.83 juta dan projek pemuliharaan Pantai Morib berjumlah RM60.5 juta.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.