Terletak di pesisir Selangor, Pulau Ketam merupakan perkampungan nelayan yang terkenal dengan binaan rumah kayu terapung bertiang tinggi serta jaringan laluan pejalan kaki yang menghubungkan seluruh pulau.
Dari kejauhan, pulau ini kelihatan tenang, namun di sebalik ketenangannya tersimpan kehidupan masyarakat yang bergantung rapat kepada laut dan hasil perikanan.
Setiap pagi, bot-bot nelayan keluar mencari rezeki manakala peniaga membuka kedai bagi memenuhi keperluan komuniti setempat. Kehidupan di sini bergerak mengikut rentak pasang dan surut perairannya.
Keunikan pulau yang terletak di luar pantai Pelabuhan Klang itu terlihat pada lorong sempit yang menjadi laluan utama motosikal dan basikal, sementara rumah-rumah yang dibina rapat antara satu sama lain mencerminkan hubungan erat sesama penduduk.
Pulau Ketam berjarak kira-kira 40 minit pemanduan dari pusat bandar Klang turut berkembang sebagai destinasi pelancongan tanpa kereta. Pengunjung datang untuk menikmati makanan laut segar, menyaksikan kehidupan masyarakat pesisir pantai dan merasai pengalaman berada di sebuah pulau yang mempunyai identiti tersendiri.
Jurugambar Mohd Khairul Helmy Mohd Din merakam pelbagai sisi kehidupan masyarakat di Pulau Ketam dari suasana perkampungan nelayan hingga keharmonian sesama penduduk yang kebanyakannya berketurunan Teochew dan Hokkein.
Kehidupan di Pulau Ketam bergerak mengikut rentak air pasang surut. Di sebalik deretan rumah atas tiang dan lorong sempit, tersimpan kisah komuniti nelayan yang terus mempertahankan warisan mereka sejak turun-temurun.
Bot-bot kecil menjadi nadi pengangkutan penduduk Pulau Ketam, menghubungkan kehidupan harian dengan laut yang menjadi sumber rezeki utama masyarakat setempat.
Lorong-lorong kampung yang dipenuhi basikal dan motosikal menggambarkan suasana santai sebuah pulau yang jauh daripada kesibukan kota, namun kaya dengan nilai kemasyarakatan.
Jambatan pejalan kaki daripada jeti yang menghubungkan kawasan penempatan menjadi laluan utama penduduk menjalani rutin harian di tengah perkampungan nelayan ini
Di sebalik pembangunan moden, Pulau Ketam masih mengekalkan pesona perkampungan tradisional yang menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pulau Ketam bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah komuniti yang terus hidup dengan budaya maritim, semangat gotong-royong dan hubungan erat sesama penduduk.
Aktiviti harian penduduk berjalan seperti biasa ketika pelancong mula meneroka keunikan budaya, makanan laut segar dan landskap tradisional yang menjadi identiti Pulau Ketam.
Ketika air surut, hamparan lumpur bakau membuka pemandangan berbeza yang memperlihatkan hubungan rapat antara manusia dan alam sekitar di Pulau Ketam.
Warna-warni bangunan dan deretan kedai lama mencerminkan sejarah panjang komuniti setempat yang membentuk identiti unik pulau ini sejak berdekad lalu.