Festival Makanan Warisan Selangor 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi edaran 4,921 lempeng sagu biji mata ikan dan pembinaan formasi Rumah Api Kuala Selangor setinggi 25 meter menggunakan 55,000 keping kuih Beppa Pute.
Acara gilang-gemilang yang menarik hampir 10,000 pengunjung di Kompleks Sukan Kuala Selangor itu bukan sekadar pesta rasa, tetapi juga pentas mengangkat warisan Bugis dan keunikan kulinari Selangor ke peringkat nasional.
Selain deretan gerai makanan tradisi, festival turut diserikan dengan 13 aktiviti utama seperti demonstrasi masakan, pertandingan resipi rakyat, persembahan kebudayaan dan jualan produk tempatan yang memperlihatkan kreativiti usahawan desa.
Detik bersejarah itu dirakam jurufoto Remy Arifin ketika Pegawai Rasmi MBOR Megat Faris Megat Muzaffar Shah menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah.
Festival Makanan Warisan Selangor memberi peluang kepada peserta mengetengahkan keunikan juadah dari kawasan masing-masing.
Penjawat awam Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan sate kerang berkuah kacang ketika Festival Makanan Warisan Selangor.
Punten, makanan tradisi masyarakat Jawa dari kawasan Tanjung Karang, Kuala Selangor merupakan juadah seperti nasi himpit yang diperbuat daripada santan, kelapa parut, garam dan daun pandan dimakan dengan sambal hijau ikan bilis.
Pengunjung beratur sebelum mengambil juadah di reruai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena Festival Makanan Warisan Selangor.
Reruai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengetengahkan aneka kuih-muih tradisional yang memikat selera sempena Festival Makanan Warisan Selangor.
Sekumpulan kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan menghasilkan makanan warisan menggunakan plastisin dan pensil warna air.
Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar semasa menghadiri Festival Makanan Warisan Selangor sambil menggayakan busana tradisional.
Kumpulan pemuzik Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menghiburkan pengunjung Festival Makanan Warisan Selangor dengan alunan lagu-lagu klasik.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik di hadapan replika rumah api beppa pute terbesar yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR).