SHAH ALAM, 16 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan kepada keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Tanjong Karang serta banjir di Kuala Selangor, baru-baru ini.
Di Tanjong Karang, satu keluarga menerima bantuan selepas kediaman mereka mengalami kerosakan apabila bumbung di bahagian bilik tidur, bilik air dan dapur diterbangkan angin ribut.
“Bantuan kewangan serta dua Pek Prihatin telah disampaikan oleh pihak Pengurusan YIDE kepada ibu mangsa, Puan Rosnani, bagi membantu keluarga yang terjejas,” menurut kenyataan YIDE di Facebook.
Selain itu, YIDE turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching, membabitkan 87 keluarga dengan keseluruhan 290 mangsa.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan mencerminkan keprihatinan YIDE dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah, khususnya ketika berdepan kesukaran akibat bencana.
YIDE turut mengajak orang ramai menghulurkan sumbangan dan infak bagi membantu golongan yang memerlukan, terutama mereka yang terjejas akibat bencana.









