KLANG, 22 OKT: Pembangunan Kompleks Asrama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Pulau Indah bakal menjadi mercu tanda baharu untuk memperkasa kecemerlangan anak-anak yatim di Selangor.
Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata pembangunan kompleks itu merangkumi aspek pendidikan, pembentukan sahsiah, kerohanian, kesihatan dan pembangunan potensi diri.
“Kompleks yang sedang dibangunkan ini mampu menempatkan 108 anak yatim lelaki pada satu-satu masa bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah mempunyai kekuatan agama serta berupaya kembali menabur bakti kepada agama dan masyarakat.
“Ini merupakan komitmen berterusan YIDE dalam memastikan kebajikan, pendidikan dan pembangunan anak yatim di Selangor terus terpelihara,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Anak-Anak Yatim dan Kanak-Kanak Spastik hari ini.
Majlis diadakan di Istana Alam Shah di sini bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun Sultan Selangor (2001-2026) bermula September hingga November.
Majlis itu diadakan di Istana Alam Shah di sini bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor bagi tempoh 2001 hingga 2026, yang berlangsung dari September hingga November.
Pada majlis itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan meluangkan masa hampir dua jam bersama anak yatim dan kanak-kanak spastik.
Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan YIDE telah menyantuni 12,470 anak yatim selain menyelia 37 rumah kebajikan anak yatim berdaftar di seluruh Selangor.
“Amanah menyantuni anak yatim merupakan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, selaras dengan titah Sultan Selangor agar MAIS melalui YIDE memainkan peranan aktif dalam membantu golongan itu.
“Usaha ini bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta keperluan asas yang mencukupi. Dengan kasih sayang, pendidikan dan bimbingan, mereka berpeluang membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Mazlan menyifatkan majlis jamuan teh diraja itu amat bermakna kerana menjadi wadah untuk menyemarakkan dan mengeratkan hubungan kasih sayang antara Sultan Selangor dengan rakyat.










