SHAH ALAM, 9 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengagihkan 500 Pek Prihatin bernilai RM50,000 kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di tiga daerah di Selangor sejak 3 November lalu.
YIDE menerusi kenyataan memaklumkan bantuan itu disalurkan kepada mangsa banjir di Petaling, Kuala Selangor dan Klang yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut YIDE, bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat bencana berkenaan.
“YIDE berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban keluarga yang terjejas selain memberi sedikit kelegaan kepada mangsa dalam menghadapi musibah banjir,” menurut kenyataan itu.
Antara PPS yang menerima bantuan di daerah Petaling adalah Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang; Dewan Seri Pagi MBSA, Paya Jaras Hilir; Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak dan Dewan Kenanga.
Di Kuala Selangor pula, bantuan disalurkan ke SK Desa Aman, Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok, SK Dato’ Maharaja Lela dan SK Parit Mahang, manakala mangsa banjir di Klang menerima bantuan di PPS Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar.
Pada 6 November, Pengerusi YIDE merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Setia Mazlan Mansor bersama Pengerusi MAIS, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar.
Kunjungan itu turut disertai Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah dan diraikan Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.








