Speed Rakyat permudah urusan lesen, peniaga harap bantuan diperluas

15 Nov 2026, 2:00 PM
Speed Rakyat permudah urusan lesen, peniaga harap bantuan diperluas
Speed Rakyat permudah urusan lesen, peniaga harap bantuan diperluas
Speed Rakyat permudah urusan lesen, peniaga harap bantuan diperluas
Speed Rakyat permudah urusan lesen, peniaga harap bantuan diperluas

SHAH ALAM, 15 NOV: Peniaga kecil berharap pelaksanaan Dasar Speed Rakyat disusuli peluasan akses bantuan dan pembiayaan bagi membolehkan lebih ramai usahawan mengembangkan perniagaan.

Mas Idami Mohamed, 43, menyifatkan inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2027 itu sebagai langkah positif kerana memanjangkan tempoh pembaharuan lesen perniagaan dilanjutkan kepada dua tahun berbanding setahun sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau turut menggesa Kerajaan Negeri membuka lebih banyak peluang pembiayaan kepada usahawan yang berdepan masalah rekod kredit seperti CTOS, CCRIS dan senarai hitam.

“Bagi saya, inisiatif ini bagus kerana dapat memudahkan urusan dan memberi peluang lebih besar dengan mengurangkan beban peniaga.

Peniaga, Mas Idami Mohamed. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Dari pandangan saya, tidak semua peniaga atau usahawan ada peluang untuk memohon pinjaman modal disebabkan masalah CTOS, CCRIS dan senarai hitam.

"Kalau boleh, berikan peluang yang lebih besar untuk kami pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Sementara itu, Khairul Anwar Isa, 38, yang sudah 18 tahun berniaga di Uptown Shah Alam berkata, tempoh lesen lebih panjang dapat membantu peniaga yang berdepan kekangan kewangan, khususnya mereka yang perlu menjelaskan saman sebelum memperbaharui lesen.

“Bagi peniaga yang kurang berkemampuan, tempoh lesen dua tahun ini sangat membantu kerana ada yang perlu menyelesaikan saman terlebih dahulu sebelum boleh memperbaharui lesen,” katanya.

Peniaga, Khairul Anwar Isa. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Khairul turut meminta Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap platform jualan dalam talian seperti Taobao dan Pinduoduo, khususnya aspek percukaian yang menurutnya memberi kesan kepada persaingan peniaga tempatan.

“Platform seperti ini menjual terus kepada pengguna di Malaysia dan saya berharap kerajaan dapat melihat aspek percukaian mereka kerana perkara ini boleh menjejaskan ekonomi kita (peniaga tempatan),” katanya.

Beliau juga mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri membantu mempromosikan Uptown Shah Alam bagi menarik lebih ramai pengunjung berikutan sambutan yang semakin berkurangan.

Dalam pada itu, pengusaha kopi, Mohamad Azmi Warisan, 30, melihat pembaharuan lesen dua tahun sebagai langkah yang dapat meringankan beban usahawan kecil.

Peniaga, Mohamad Azmi Warisan. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mencadangkan program keusahawanan seperti HPPKS diperluas ke kawasan luar bandar, termasuk Sabak Bernam bagi menarik pengunjung dan merancakkan ekonomi setempat.

“Saya rasa itu antara inisiatif yang baik terutamanya membantu usahawan dan peniaga kecil di Selangor yang mungkin sibuk menguruskan perniagaan dan saya berharap ada lagi inisiatif yang ditambah baik pada tahun depan.

“Saya harap ada program seperti ini (HPPKS) dibuat di kawasan Sabak Bernam dan daerah-daerah lain kerana boleh menjadi tarikan pelancongan luar bandar juga. Perbanyakkan lagi dan teruskan inisiatif berbentuk bantuan, kemudahan kepada usahawan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.