Usul mobiliti, keselamatan bandar ADN Muda dibawa ke DNS Ogos

2 Jul 2026, 12:49 PM
Usul mobiliti, keselamatan bandar ADN Muda dibawa ke DNS Ogos
Usul mobiliti, keselamatan bandar ADN Muda dibawa ke DNS Ogos
Usul mobiliti, keselamatan bandar ADN Muda dibawa ke DNS Ogos
Usul mobiliti, keselamatan bandar ADN Muda dibawa ke DNS Ogos

SHAH ALAM, 2 JULAI: Usul berkaitan transformasi mobiliti dan keselamatan bandar yang dibahaskan dalam Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026 akan diketengahkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) Ogos ini.

Speaker DNS Lau Weng San berkata usul berkenaan akan dibawa sebagai usul persendirian oleh seorang ADN selepas dipilih melalui proses pengundian dalam sidang ADN Muda Selangor.

Katanya, usul mobiliti dan keselamatan bandar menerima sokongan tertinggi apabila memperoleh 22 undian daripada peserta selepas sesi perbahasan selesai.

“Melalui pengundian, kita telah memilih usul nombor tiga yang berkaitan mobiliti dan keselamatan bandar. Usul ini telah pun dipilih dan akan dibawa dalam persidangan yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

“Saya kira salah satu ADN akan bertanggungjawab untuk mengemukakan usul ini sebagai satu usul persendirian dalam persidangan yang akan datang (Ogos).

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San pada sidang media selepas Persidangan ADN Muda Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri pada 2 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Dato’ Menteri Besar akan membentangkan Rancangan Selangor Ke-2 yang mana saya kira isu ini (mobiliti dan keselamatan bandar) akan dapat perhatian daripada ramai ADN dalam persidangan akan datang,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di Bangunan Annex DNS di sini hari ini selepas mempengerusikan sidang dewan sempena program ADN Muda Selangor 2026.

Menurutnya, selain mobiliti dan keselamatan bandar, tiga lagi usul dibahaskan lebih 50 wakil ADN Muda dalam sidang itu meliputi perumahan sewa khas belia (co-living), kesedaran undang-undang dalam kalangan belia dan kesihatan mental.

“Daripada empat usul yang dibentangkan, hanya tiga diluluskan sebelum melalui proses pengundian, dengan usul mobiliti memperoleh sokongan tertinggi sebanyak 22 undi.

“Usul pertama berkaitan konsep co-living tidak diluluskan selepas gagal mendapat sokongan ketika proses undian dijalankan,” katanya.

Program ADN Muda Selangor berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 56 belia yang dipilih daripada 232 permohonan.

Kesemua usul diputuskan menerusi proses pengundian bagi membolehkan peserta membahaskan isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat, selain mencadangkan penyelesaian yang berpotensi diketengahkan ke DNS.

Program yang diperkenalkan sejak 2014 itu bertujuan memberi pendedahan kepada belia berusia antara 18 hingga 35 tahun mengenai proses demokrasi, penggubalan dasar serta perjalanan Sidang DNS.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.