SHAH ALAM, 13 OGOS: Senarai Ahli Dewan Negeri (ADN) yang tidak hadir sepanjang persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) akan dimuat naik di media sosial untuk rujukan orang ramai.
Speaker DNS Lau Weng San berkata ketidakhadiran menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mengemukakan soalan, mendapatkan jawapan serta menyampaikan pendirian dan cadangan.
Beliau turut menasihatkan semua wakil rakyat memberi tumpuan kepada persidangan yang berlangsung dan menguruskan jadual lebih awal bagi mengelakkan pertembungan.
"Adakalanya mungkin mereka tidak hadir kerana ada urusan kawasan. Apa pun sekali nasihat kita ialah supaya ADN untuk hadir dan memberi tumpuan terhadap sidang dewan.
"Kita bukan selalu bersidang setahun hanya tiga kali, sekali dua minggu atau tidak sampai. Jadi eloklah hadir sekiranya tiada apa-apa urusan penting," katanya.
Bercakap dalam sidang media di Wisma DNS hari ini, Weng San berkata kehadiran ke sidang penting kerana ADN menerima bayaran RM200 bagi sesi pagi dan RM150 untuk sesi petang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sidang seterusnya dijadual berlangsung November, justeru ADN perlu mula menyediakan soalan dan perkara yang ingin dibangkitkan pertengahan Oktober.
"Jawatankuasa akan mula bermesyuarat minggu depan, semuanya akan bersidang tiga minggu sebelum sidang dewan supaya boleh buat persiapan," katanya menambah sebahagian ringkasan atau jawapan sesi soal jawab juga akan disiarkan di media sosial.







