SHAH ALAM, 16 NOV: Sebanyak enam lagi kemudahan Takungan Air di Tapak (OSD) dirancang untuk dibina di Kuala Lumpur pada tahun depan bagi meningkatkan keupayaan mitigasi banjir.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata sembilan kemudahan OSD sudah siap dibina, manakala enam lagi sedang dalam pembinaan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, lapor Berita Harian.
Menurutnya, OSD berfungsi menakung air hujan buat sementara waktu sebelum dilepaskan secara terkawal ke dalam sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
"Sebanyak sembilan kemudahan OSD sudah siap dibina, termasuk di kawasan padang awam. Bahagian bawah tanahnya digunakan sebagai kolam takungan, manakala permukaannya kekal boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi.
"Enam lagi OSD sedang dalam pembinaan termasuk satu di Padang Merbok, manakala enam lagi dirancang untuk dilaksanakan pada 2027," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan), di sini, hari ini.
Sembilan kemudahan OSD yang siap dibina terletak di Universiti Malaya, Segambut Bahagia, Taman United, Bukit Tunku, Tayton View, SPPK Segambut, Taman Yarl, Taman Sentosa dan Taman Botani.
Enam lokasi yang sedang dalam pembinaan pula ialah Padang Merbok, Kampung Pasir, Jalan Jinjang Aman 2, Jalan Ledang, Kampung Periuk dan Menara PJD.
Sementara itu, enam lokasi yang dikenal pasti untuk pembangunan pada 2027 ialah Masjid Ubudiah, Jalan Kiara 8, Jalan Kiara 3, Jalan Kelapa Muda, Jalan Jinjang Utara Fasa 2 dan Padang Bola Brickfields.
Fadlun berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memantau lebih 65 kemudahan OSD yang dibangunkan pemaju swasta.
Selain itu, DBKL sudah membina tembok penahan banjir sepanjang 1.3 kilometer dan kerja pembinaannya akan diteruskan tahun depan bagi meningkatkan kapasiti sungai menampung aliran air.
"Kita juga sudah membina tembok penahan banjir sepanjang 1.3 kilometer dan kerja-kerja ini akan diteruskan pada 2027 bagi membolehkan sungai menampung jumlah air yang lebih besar," katanya.







