SHAH ALAM, 3 NOV: Pembinaan kolam takungan sementara dengan anggaran kos RM12 juta antara langkah bagi mengurangkan risiko banjir kilat berulang di Sungai Buloh sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang siap menjelang 2029.
Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dato’ Sri R Ramanan berkata, langkah itu susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengurangkan kesan banjir terhadap penduduk terutama ketika musim hujan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengarahkan supaya satu penyelesaian sementara diambil.
“Contohnya, kolam takungan bagi menahan air, bukan untuk menghentikan banjir sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan banjir yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang hari ini.

Terdahulu, Anwar turut melawat mangsa banjir di PPS berkenaan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Menurut Ramanan, kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan semakin membimbangkan apabila berlaku empat kali dalam tempoh kira-kira 30 hari, termasuk tiga kejadian sepanjang Oktober dan satu pada awal November.
Katanya, hampir 550 rumah terjejas akibat kejadian banjir berulang dengan jumlah penduduk dianggarkan 1,500 orang berdasarkan purata tiga penghuni bagi setiap rumah.
Beliau menjelaskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1 dan Fasa 2 bagi Sungai Buloh serta Sungai Damansara sudah diluluskan dan dilaksanakan secara berperingkat, dengan kedua-duanya dijangka siap menjelang 2029.
Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting bagi mempercepat pelaksanaan projek terbabit selain memastikan langkah sementara mampu mengurangkan kesan banjir terhadap penduduk.
Semalam, hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter dalam tempoh kira-kira sejam menyebabkan sungai melimpah dan menjejaskan 92 rumah di Kampung Melayu Subang, membabitkan Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50), dengan paras air dilaporkan mencecah satu meter.









