Pakar saran Selangor perluas BIOECODS tangani banjir kilat

16 Nov 2026, 6:38 AM
Pakar saran Selangor perluas BIOECODS tangani banjir kilat

SHAH ALAM, 16 NOV: Penggunaan Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) wajar diperluas sebagai antara pendekatan mampan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar di Selangor, khususnya menerusi pengurusan air hujan yang lebih berkesan serta mengurangkan kebergantungan pada sistem saliran konkrit konvensional.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Chang Chun Kiat berkata sistem itu yang menggabungkan saluran berumput, kolam takungan dan tanah bencah berupaya memperlahankan aliran air hujan, selain membantu meningkatkan kualiti air sebelum dilepaskan ke sungai.

Beliau berkata berbeza dengan sistem saliran konkrit konvensional, BIOECODS menggunakan saluran berumput (grass swale) yang berfungsi memperlahankan aliran air hujan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran sedia ada.

Menurut Chun Kiat, pendekatan itu menekankan kawalan air di punca menerusi penyediaan kemudahan seperti kolam takungan kering dan basah serta tanah bencah yang turut berkeupayaan merawat kualiti air secara semula jadi.

“ … antara punca utama banjir kilat ialah sistem saliran yang tersumbat. Walaupun tiada kajian rasmi dijalankan oleh USM, maklum balas diterima ketika kerja penyelenggaraan menunjukkan penggunaan saliran berumput membantu mengurangkan masalah sampah dan sisa yang menyumbat saliran.

“Secara tidak langsung, keadaan landskap yang lebih hijau dan menarik juga mungkin menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan kawasan berkenaan berbanding longkang konkrit yang sering menjadi tempat pembuangan pelbagai jenis sampah,” katanya.

Beberapa kawasan di sekitar Kampung Melayu Subang dinaiki air akibat hujan lebat. Foto Facebook netizen

Chun Kiat berkata saluran berumput itu turut mempunyai lapisan di bawah permukaan tanah yang membolehkan air hujan meresap dan mengalir melalui bahagian subpermukaan, sekali gus membantu menapis bahan pencemar secara semula jadi serta meningkatkan kualiti air sebelum dilepaskan ke sungai.

Beliau berkata sistem berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sejak 2000, dengan projek rintis dimulakan di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Pulau Pinang, sebelum mendapat pengiktirafan UNESCO pada 2024.

Penggunaan BIOECODS, katanya, bukan sahaja menawarkan penyelesaian saliran yang lebih lestari, malah turut melibatkan kos pembangunan lebih rendah dan sesuai diaplikasikan di kawasan bandar serta sepanjang jalan raya.

“Cabaran pelaksanaan sistem ini ialah keperluan ruang bagi pembinaannya. Sebagai contoh, saluran berumput memerlukan kawasan selebar sekurang-kurangnya dua meter berbanding longkang konvensional yang hanya memerlukan lebar antara 300 hingga 600 milimeter.

“Bagaimanapun, BIOECODS telah dilaksanakan di pembangunan bandar baharu Kwasa Damansara, yang merupakan antara projek pembangunan berskala besar yang mengaplikasikan sistem ini dan berdasarkan pemerhatian setakat ini, sistem itu mampu membantu mengawal aliran air dengan baik,” katanya.

Beliau berkata REDAC USM turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksanakan dua projek perintis yang mengaplikasikan konsep BIOECODS di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) Kluang, Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan.

Dalam pada itu, Chun Kiat berpandangan bahawa perkembangan semasa menuntut penyelesaian yang lebih cekap dan mampan, selain pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan sehingga mengabaikan aspek pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata perancangan pembangunan bandar perlu mengambil kira keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar, selaras dengan pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pembangunan infrastruktur hijau.

“Jika dilihat di negara maju, pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan infrastruktur hijau semakin diberi perhatian. Oleh itu, sudah tiba masanya kita menilai semula pendekatan pembangunan agar lebih selaras dengan persekitaran.

“Pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.