AMPANG, 15 NOV: Hampir 700 kolam takungan banjir di Selangor sedang diteliti status pemilikannya bagi memastikan setiap satunya mempunyai pihak yang bertanggungjawab menyelenggaranya.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata berdasarkan maklumat awal, hampir 200 daripada kolam itu berada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), manakala selebihnya di bawah tanggungjawab pemaju termasuk yang belum mempunyai pihak pengurusan jelas.
“Usaha itu sedang dilakukan bagi mengenal pasti pemilik atau pihak bertanggungjawab terhadap setiap kemudahan saliran termasuk parit, longkang dan kolam takungan supaya pengurusan penyelenggaraan dapat diselaraskan dengan lebih teratur.
“Antara pendekatan yang dipertimbangkan adalah menyerahkan tanggungjawab penyelenggaraan kemudahan berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau JPS bagi memastikan pengurusan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Pandan 2026 di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah, di sini semalam.
Menurut Izham, kolam takungan banjir yang masih di bawah tanggungjawab pemaju khususnya bagi projek pembangunan yang belum diselesaikan turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang boleh menyumbang kepada kejadian banjir dan masalah mendapan lumpur.
Sehubungan itu, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan pemaju mematuhi keperluan pengurusan banjir serta kawalan mendapan lumpur dengan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran.
Dalam perkembangan lain, Izham berkata sebanyak 185 kolam takungan dan tasik yang beroperasi secara berasingan serta belum diuruskan secara bersepadu akan diintegrasikan supaya dapat dihubungkan dengan sistem sungai.
Beliau berkata langkah itu bertujuan meningkatkan keberkesanan pengurusan aliran air dan kapasiti sistem saliran dalam menangani risiko banjir selain memastikan pergerakan air dapat disalurkan dengan lebih teratur ke sistem sungai.
Izham turut memaklumkan paras air empangan akan dikurangkan secara berperingkat kepada 30 peratus menjelang Oktober depan bagi menyediakan kapasiti takungan tambahan serta mengelakkan limpahan air.







