Selangor rancang manfaat kawasan hijau, teroka kolam takungan bawah tanah

14 Nov 2026, 10:08 AM
Selangor rancang manfaat kawasan hijau, teroka kolam takungan bawah tanah

AMPANG, 14 NOV: Pembangunan pesat di Selangor mendorong keperluan pendekatan lebih inovatif dalam sistem tebatan banjir, termasuk memanfaatkan kawasan hijau sebagai takungan sementara air hujan.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata perubahan landskap akibat pembangunan menyebabkan kawasan yang sebelum ini berfungsi menyerap air hujan ke dalam tanah dan menyalirkannya melalui sistem perparitan kini tidak lagi mempunyai keupayaan sama.

“Kawasan hijau yang masih tersedia boleh dimanfaatkan sebagai kawasan takungan sementara bagi membolehkan air hujan diserap ke dalam tanah menerusi pendekatan berasaskan alam semula jadi (nature-based solution).

“Pendekatan itu akan diberi perhatian dalam perancangan pembangunan baharu dan kawasan sedia ada, termasuk meneroka pembinaan kolam takungan bawah tanah bagi mengatasi kekangan ruang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Pandan 2026 di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, di sini hari ini.

Izham berkata pembangunan pesat di Selangor memerlukan kaedah lebih inovatif dalam menguruskan lebihan air dan menangani risiko banjir, selain tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah tebatan konvensional.

Katanya, pelaksanaan pendekatan berkenaan turut mengambil kira garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) yang akan diterapkan dalam syarat Kebenaran Merancang (KM) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keutamaan pelaksanaan pula akan diberikan kepada kawasan yang kerap dilanda banjir bagi memastikan lokasi berisiko tinggi ditangani terlebih dahulu sebelum diperluas ke kawasan lain.

Mengulas pemantauan projek tebatan banjir, Izham berkata perkembangan pelaksanaan projek di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri boleh dirujuk menerusi papan pemuka (dashboard) banjir yang turut memaparkan projek mitigasi banjir secara segera (quick win).

Papan pemuka itu dijangka boleh diakses orang ramai dalam tempoh tiga minggu bagi memudahkan mereka memantau perkembangan pelaksanaan projek tebatan banjir.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 memaklumkan laluan hijau akan disediakan bagi mempercepat kelulusan projek mitigasi dan tebatan banjir, selain memperkemas semakan teknikal serta penyelarasan antara agensi.

Beliau berkata sebanyak 56 projek mitigasi dan tebatan banjir dikenal pasti untuk dilaksanakan tahun hadapan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini tanpa mengetepikan syarat keselamatan, alam sekitar dan tatacara perolehan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.