SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri memperluas perkhidmatan sokongan kesihatan mental kepada golongan remaja dan belia menerusi pengenalan Hab Rakan Sokongan Selangor Mental Sihat (SEHAT).
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata hab berkenaan menyediakan perkhidmatan sokongan rakan sebaya secara percuma sebagai tambahan kepada sesi kaunseling bersemuka yang ditawarkan sebelum ini.
“Jika sebelum ini perkhidmatan yang disediakan tertumpu kepada sesi kaunseling bersemuka oleh kaunselor bertauliah.
“Pelaksanaan yang dijalankan pada tahun ini diperluas dengan pengenalan komponen sokongan rakan sebaya (peer support) melalui kerjasama bersama SAPOT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi berhubung bantuan dan sokongan kesihatan mental pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan sejak Julai 2026 itu menyediakan sokongan awal kepada individu berdepan isu kesihatan mental sebelum dirujuk kepada kaunselor profesional sekiranya perlu.
Jamaliah berkata, sebanyak 90 sesi sokongan direkodkan menerusi perkhidmatan berkenaan sehingga 31 Oktober lalu.
“Pendekatan ini melengkapkan perkhidmatan kaunseling sedia ada dengan menyediakan saluran sokongan awal yang lebih mudah diakses oleh golongan remaja dan belia,” katanya.
Perkhidmatan itu ditawarkan secara dalam talian dan percuma setiap Sabtu, bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan tempahan boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah.








