Minta bantuan bukan tanda kelemahan, jangan tunggu masalah kesihatan mental jadi serius

12 Jul 2026, 6:00 AM
Minta bantuan bukan tanda kelemahan, jangan tunggu masalah kesihatan mental jadi serius
Minta bantuan bukan tanda kelemahan, jangan tunggu masalah kesihatan mental jadi serius

SHAH ALAM, 12 JULAI: Mendapatkan bantuan apabila berdepan cabaran kesihatan mental bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah berani untuk menjaga diri, kata Pengasas Bersama SAPOT, Nureen Hamka.

SAPOT ialah platform sokongan kesihatan mental yang menyediakan ruang selamat kepada individu sebelum mendapatkan bantuan profesional.

Nureen berkata masih ramai yang teragak-agak mendapatkan sokongan kerana stigma masyarakat, sedangkan bantuan pada peringkat awal mampu mengelak keadaan menjadi lebih serius.

"Meminta bantuan adalah langkah pertama untuk mendapatkan bantuan, ia bukan satu tanda kelemahan, sebaliknya satu keberanian untuk menjaga diri sendiri," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Nureen, antara tanda awal yang sering terlepas pandang ialah perubahan corak tidur, tabiat pemakanan yang tidak menentu serta hilang minat terhadap aktiviti harian atau hubungan sosial.

Katanya, perubahan tersebut sering disalah anggap sebagai keletihan biasa, sedangkan ia boleh menjadi isyarat awal seseorang sedang bergelut dengan cabaran kesihatan mental.

Pengasas Bersama SAPOT, Nureen Hamka.

"Ramai orang menganggap perubahan ini perkara biasa, namun ia sebenarnya antara tanda awal yang tidak seharusnya dipandang ringan," katanya.

Beliau berkata stigma terhadap isu kesihatan mental masih menjadi antara faktor utama yang menghalang individu tampil mendapatkan bantuan.

Sehubungan itu, SAPOT menyediakan ruang terbuka, selamat dan bebas daripada sebarang penghakiman supaya orang ramai dapat berkongsi pengalaman serta mendapatkan sokongan awal.

"Di SAPOT, kami mahu setiap individu tahu bahawa mereka mempunyai ruang yang selamat untuk didengari dan disokong," katanya.

Menurut Nureen, berdasarkan data SAPOT, golongan berusia 25 hingga 34 tahun mewakili lebih 59 peratus daripada keseluruhan individu yang mendapatkan sokongan, dengan kumpulan umur 25 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah pengguna tertinggi.

Beliau berkata dapatan itu menunjukkan semakin ramai golongan dewasa muda berani tampil mendapatkan bantuan apabila berdepan cabaran kesihatan mental.

"Apa yang menarik, golongan dewasa muda dilihat antara yang paling berani tampil mendapatkan bantuan apabila berdepan cabaran kesihatan mental," katanya.

Beliau berharap masyarakat tidak berlengah mendapatkan bantuan kerana intervensi pada peringkat awal mampu meningkatkan peluang pemulihan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.