SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan Negeri sedang giat merangka modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang diperkukuh dengan merangkumi elemen pencegahan buli, pendidikan emosi serta intervensi awal kesihatan mental, khusus untuk murid sekolah.
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata langkah intervensi pencegahan itu dibuat bagi memperkukuh usaha yang dilaksana kerajaan Persekutuan, susulan tragedi pembunuhan pelajar di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa lalu.
“Pada saya, apa yang penting ketika ini adalah memastikan fokus semua pihak tertumpu kepada bagaimana kita mahu memastikan cadangan-cadangan ini berjaya dilaksanakan dan sekiranya terdapat komen dan maklum balas, ianya perlulah konstruktif dan membina.
“Jika tidak, kita hanya akan terperangkap dalam kitaran mengata dan mengutuk serta mencari kambing hitam untuk dipersalahkan. Namun, adakah ianya benar-benar bermakna dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kritikal yang kita hadapi kini?,” katanya menerusi kenyataan.
Jamaliah turut memuji tindakan segera yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan susulan insiden tersebut, termasuk menaikkan umur pengguna media sosial kepada 16 tahun yang perlu didaftarkan dengan dokumen rasmi.
Namun, beliau mencadangkan sistem tersebut perlu diperkasa dengan ciri keselamatan yang lebih ketat seperti penggunaan pas kod sekali guna (OTP) atau menubuhkan rang undang-undang baharu berkaitan penggunaan media sosial.
“Negara lain seperti Australia misalnya, telah sedar lebih awal tentang bahaya penyalahgunaan media sosial apabila meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Had Umur Minimum Media Sosial) 2024, yang mengehadkan akses media sosial kepada individu berusia 16 tahun ke bawah.
“Malah, negara jiran kita, Singapura juga telah mengemukakan cadangan menggubal had umur untuk akses media sosial bagi melindungi pengguna muda, dan sedang berhubung rapat dengan Australia untuk mengikuti langkah negara tersebut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi pada Selasa lalu, suspek seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun bertindak menikam seorang pelajar perempuan tingkatan empat di tandas sekolah berkenaan.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping mendedahkan terdapat kira-kira 200 kesan tikaman di badan anaknya, berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan pihak patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).




