SAPOT jadi ruang sokongan awal kesihatan mental sebelum jumpa pakar

12 Jul 2026, 3:00 AM
SAPOT jadi ruang sokongan awal kesihatan mental sebelum jumpa pakar
SAPOT jadi ruang sokongan awal kesihatan mental sebelum jumpa pakar

SHAH ALAM, 12 JULAI: Platform sokongan kesihatan mental, SAPOT, menjadi ruang sokongan awal kepada individu yang belum bersedia mendapatkan rawatan profesional, sekali gus merapatkan jurang antara masyarakat dengan sistem kesihatan mental formal.

Pengasas Bersama SAPOT, Nureen Hamka berkata platform yang ditubuhkan pada 2022 itu menyediakan ruang selamat dan bebas daripada penghakiman untuk orang ramai berkongsi pengalaman serta mendapatkan dorongan emosi.

Menurutnya, individu yang pernah pulih daripada cabaran psikologi turut diperkasa sebagai SAPOT Warriors bagi membimbing mereka yang memerlukan sokongan awal sebelum dirujuk kepada pakar.

"SAPOT wujud sebagai ruang sokongan awal, peranan utama kami untuk menjadi tempat sokongan sebelum seseorang itu memerlukan rawatan profesional yang lebih formal.

"SAPOT Warriors kami dilatih untuk berkongsi pengalaman hidup sendiri serta membimbing individu yang memerlukan sokongan, namun bukan untuk menggantikan peranan pakar psikologi atau psikiatri," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pengasas Bersama SAPOT, Nureen Hamka.

Beliau berkata pendekatan berasaskan komuniti itu melengkapi perkhidmatan kesihatan mental sedia ada dengan membawa penyokong penjagaan bertauliah ke peringkat komuniti yang lebih meluas.

Katanya, usaha itu penting kerana menyediakan lebih banyak pintu masuk kepada individu yang memerlukan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

"Kami bantu mendapatkan jurang antara rakyat yang memerlukan sokongan dengan sistem kesihatan mental formal, terutamanya bagi mereka yang belum bersedia," katanya.

Menurut Nureen, ketika SAPOT diperkenalkan pada 2022, penerimaan masyarakat agak rendah kerana konsep itu masih baharu di Malaysia selain stigma terhadap isu kesihatan mental yang masih menebal.

Bagaimanapun, platform itu kini telah memberi manfaat kepada 2,828 pengguna dengan sokongan daripada 68 SAPOT Warriors yang dilatih untuk berkongsi pengalaman hidup dan membimbing masyarakat.

Beliau berkata SAPOT beroperasi sebagai sebuah perusahaan sosial, bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pendekatan itu membolehkan lebih ramai individu mendapatkan sokongan dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada stigma.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.