SHAH ALAM, 1 FEB: Seramai 1,057 individu mendapatkan perkhidmatan Selangor Mental Sihat (SEHAT) sepanjang tahun lalu, mencerminkan keperluan tinggi terhadap sokongan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, pelaksanaan SEHAT adalah respons Kerajaan Negeri terhadap cabaran kesihatan mental pasca pandemik Covid-19 yang semakin ketara.
Menurut beliau, fokus utama program itu adalah kepada golongan berisiko termasuk remaja, rakyat berpendapatan rendah dan warga emas.
"Isu kesihatan mental kini menjadi antara cabaran kesihatan awam utama dan memerlukan pendekatan yang menyeluruh, mudah diakses serta bebas stigma," jelasnya.
Menurut Jamaliah, 11 pusat kaunseling ditubuhkan di bawah Kaunselor Hab SEHAT, libat kesemua sembilan daerah Selangor.

"Seramai 305 klien mendaftar bagi sesi kaunseling bersemuka antara Ogos hingga Disember 2025. Sementara itu, perkhidmatan Talian SEHAT yang beroperasi pada hari bekerja menerima 672 panggilan sepanjang tahun lalu, sekali gus berfungsi sebagai akses awal bantuan psikososial kepada masyarakat," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan Subsidi Rawatan Psikiatri dan Psikologi sehingga RM1,000 seorang di lima klinik panel berdaftar, dengan 80 pendaftaran diterima bagi tempoh Oktober hingga Disember 2025.
"Kerajaan Selangor komited memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan rentan, dapat memperoleh perkhidmatan kesihatan mental secara percuma, cepat dan berkesan," katanya.
Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan program SEHAT daripada RM700,000 kepada RM1.5 juta, sekali gus menempatkan Selangor sebagai negeri terawal memperkukuh kesihatan mental rakyat secara holistik dan inklusif.
SEHAT pada awalnya dilancarkan dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19.
Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.



