SHAH ALAM, 16 NOV: Geran Pusat Jagaan yang disediakan Kerajaan Negeri dicadang diperluas tahun depan bagi membolehkan pengusaha menaik taraf infrastruktur dan kemudahan premis, selain meningkatkan kemahiran petugas.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata cadangan penambahbaikan menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu bertujuan memastikan bantuan tidak lagi terhad kepada kos pendaftaran, sebaliknya turut meliputi keperluan meningkatkan tahap keselamatan dan kualiti perkhidmatan pusat jagaan.
"Cadangan penambahbaikan ini turut mengambil kira latihan dan peningkatan kompetensi penjaga bagi memastikan petugas pusat jagaan mempunyai pengetahuan serta kemahiran bersesuaian dengan keperluan penjagaan semasa," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berhubung geran pusat jagaan pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Pada 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 menerusi Inisiatif Geran Pusat Jagaan bagi membantu pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska), pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan pendaftaran sah daripada pihak berkuasa berkaitan.
Geran itu antaranya membantu menampung kos penyediaan pelan bangunan, pengubahsuaian premis serta pematuhan keperluan teknikal yang ditetapkan agensi berkaitan.
Anfaal berkata, kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan teknikal dan piawaian keselamatan menjadi antara cabaran utama pengusaha pusat jagaan, khususnya yang berskala kecil dan masih belum berdaftar.
"Melalui peluasan skop ini, lebih ramai pengusaha dijangka dapat meningkatkan tahap pematuhan terhadap syarat ditetapkan agensi teknikal dan pihak berkuasa berkaitan.
"Bagaimanapun, penyaluran geran tertakluk kepada syarat kelayakan, mekanisme pelaksanaan serta ketetapan perundangan yang berkuat kuasa," katanya.







