BANGI, 24 SEPT: Manual Belanjawan Responsif Gender (BRG) digunakan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi memastikan perspektif gender diambil kira dalam proses perancangan, pengagihan bajet dan penggunaan sumber awam.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata dua PBT berkenaan ialah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Manual ini menjadi panduan kepada PBT untuk mengintegrasikan perspektif gender secara sistematik dalam proses penggubalan dan pengagihan bajet.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan penggunaan sumber awam mengambil kira keperluan pelbagai golongan masyarakat serta menjadi sebahagian daripada usaha kita menginstitusikan tadbir urus yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Gender Outlook Forum (GOF) 2026 anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Dewan Utama Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Menurut Anfaal, pendekatan belanjawan responsif gender membolehkan proses perancangan dan pengagihan peruntukan mengambil kira keperluan berbeza dalam kalangan masyarakat termasuk wanita.
Katanya, pelaksanaan manual itu turut memastikan perspektif gender diterapkan dalam tadbir urus secara lebih tersusun dan tidak terhad kepada program khusus berkaitan wanita.
Beliau berkata pendekatan berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memperkukuh agenda pemberdayaan wanita serta memastikan dasar dan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih inklusif.
Dalam pada itu, Anfaal berkata perbincangan berkaitan kesaksamaan gender turut memberi tumpuan kepada beberapa bidang termasuk undang-undang keluarga Islam, ketidaksamaan ekonomi serta penyertaan wanita dalam politik.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan agenda pemberdayaan wanita dapat dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan aspirasi membina masyarakat inklusif.
GOF 2026 dianjurkan WBS sebagai platform membincangkan isu kesaksamaan gender, pemberdayaan wanita serta keperluan pembangunan wanita pada pelbagai peringkat kehidupan.
Pada program sama, WBS turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi memperkukuh kerjasama berlandaskan pendekatan sepanjang hayat, merangkumi keperluan daripada pendidikan belia hingga penuaan sihat serta ekonomi perak.








