SHAH ALAM, 20 NOV: Pengusaha pusat jagaan untuk kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas disaran memohon Geran Pusat Jagaan (GPJ) yang disediakan Kerajaan Negeri.
EXCO Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata, pemberian GPL merupakan inisiatif untuk memperkasakan industri penjagaan selaras Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024-2030.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 24 pusat jagaan di seluruh Selangor yang memenuhi syarat dan piawaian ditetapkan telah menerima geran tersebut.
“Setakat ini kita telah menerima lebih 200 permohonan, kita akan meneliti mana yang layak. Perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal yang dihadiri 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dalam mesyuarat ini, kita akan menilai pusat jagaan yang layak dan seterusnya mengemukakannya kepada jawatankuasa penilai untuk pengesahan kelulusan serta jumlah bantuan yang sesuai mengikut permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Pusat Jagaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Menurut Anfaal, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi pelaksanaan GPJ dengan setiap pusat jagaan layak menerima sehingga RM5,000 bagi menampung kos pematuhan dan proses pendaftaran.
Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang http://gpj.selangkah.my dan terbuka kepada pengusaha termasuk perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Dalam Komuniti (PDK) atau Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang berdaftar.
Syarat lain termasuk premis mesti beroperasi di Selangor, menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak, OKU atau warga emas, serta mempunyai komitmen untuk berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.




