SHAH ALAM, 4 APR: Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi serta memperkenalkan garis panduan lebih ketat bagi membanteras pusat jagaan tidak berdaftar susulan pendedahan kes penderaan di sebuah rumah kanak-kanak tidak berlesen di Selayang.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata langkah itu bertujuan mengelakkan kejadian sama berulang melalui pengukuhan penguatkuasaan serta meningkatkan pematuhan dalam kalangan pengusaha.
“Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKN) akan menubuhkan Pasukan Petugas Pemutihan Pusat Jagaan bagi mengenal pasti, memutihkan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pusat jagaan tidak berdaftar di seluruh negeri,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung siasatan polis terhadap dakwaan penderaan seksual di sebuah rumah kanak-kanak tidak berlesen di Taman Selayang Permata yang melibatkan puluhan mangsa berusia antara sembilan hingga 17 tahun.
Menurut laporan New Straits Times, pemeriksaan perubatan mendapati terdapat kecederaan yang konsisten dengan penderaan lama dan baharu. Premis itu dipercayai beroperasi hampir sedekad tanpa mendapatkan lesen daripada JKM.
Anfaal berkata selain penubuhan pasukan petugas, program advokasi pendaftaran dan pematuhan pusat jagaan akan diadakan pada Jun bagi membantu pengusaha memenuhi keperluan undang-undang serta menggalakkan pendaftaran segera.
“Kerajaan Negeri juga akan melancarkan garis panduan pusat jagaan dan taska bagi warga emas, kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU) pada 16 April ini, bagi memastikan premis berdaftar dan mematuhi piawaian keselamatan serta kebajikan yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata rekod JKM menunjukkan pusat jagaan berkenaan tidak pernah didaftarkan secara rasmi sejak penubuhannya walaupun pernah mendapatkan khidmat nasihat berkaitan proses pendaftaran.
Tambahnya, susulan aduan diterima, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan Notis Penutupan terhadap premis itu pada 3 April jam 3.55 petang.
Notis tersebut akan berkuat kuasa pada 6 April jam 11 pagi bagi membolehkan proses penghantaran pulang kanak-kanak kepada keluarga, waris terdekat atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) dilaksanakan secara selamat.
Anfaal berkata Kerajaan Negeri dan JKM turut meneliti semula mekanisme penguatkuasaan serta penyelarasan antara agensi bagi mengenal pasti sebarang kelompongan pematuhan melibatkan pusat jagaan tidak berdaftar.
Mengenai kebajikan mangsa, beliau memaklumkan semua kanak-kanak terlibat kini menerima rawatan sewajarnya termasuk rawatan perubatan di hospital mengikut keperluan masing-masing.
“Selepas discaj, kanak-kanak akan disatukan semula dengan keluarga tertakluk kepada penilaian pegawai pelindung kanak-kanak.
“JKM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada mangsa serta keluarga bagi memastikan kesejahteraan emosi dan proses pemulihan mereka terpelihara,” katanya.
Beliau menambah keputusan penempatan bagi penghuni lain akan ditentukan selepas siasatan dan saringan akhir oleh pihak pelindung, termasuk pilihan disatukan semula dengan keluarga atau ditempatkan di bawah jagaan OYLS yang bersesuaian.








