JKM Selangor diarah siasat rangkaian pusat jagaan dikait kes abai kanak-kanak

24 Jan 2026, 5:38 AM
JKM Selangor diarah siasat rangkaian pusat jagaan dikait kes abai kanak-kanak

HULU LANGAT, 24 JAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor diarah menyemak secara menyeluruh rangkaian pusat jagaan yang didakwa mengabaikan kanak-kanak, susulan pendedahan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata pemeriksaan secara kes demi kes bagi memastikan semua premis di bawah rangkaian pusat jagaan itu mematuhi syarat pendaftaran sekali gus menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

“Susulan pendedahan video terbaharu mengaitkan cawangan pusat jagaan itu di Bangi, saya minta untuk teliti keseluruhan cawangan kerana apabila ada (aduan) di Bangi pula bermakna itu dalam bidang kuasa JKM di Hulu Langat. Jadi kita cuba siasat kes demi kes.

“Saya kira kena lihat secara keseluruhan. Sebab konsep perniagaan itu adalah francais. Jadi apabila francais tetapi tiada pemantauan kualiti, saya kira kita kerajaan ambil tanggungjawab untuk pastikan pengusaha daripada peringkat induk itu memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Beliau ditemui selepas selepas menyempurnakan pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita Edisi Khas Ahli Majlis di sini, hari ini.

Anfaal turut mengingatkan pengusaha pusat jagaan swasta agar mematuhi semua syarat pendaftaran, perlesenan serta garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Sekiranya mereka ingin melakukan perniagaan, pastikan ia mematuhi syarat, sama ada dengan JKM, lesen perniagaan daripada PBT dan syarat dari segi kebenaran merancang teknikal itu perlu patuhi seperti kelulusan pihak bomba, kesihatan dan sebagainya. Jika tidak patuh syarat, akhirnya akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Ibu bapa juga perlu ambil maklum, bukan sahaja tentang menghantar anak itu dengan kadar yang rendah tetapi kita perlu pastikan anak-anak dihantar di tempat yang selamat,” katanya.

Terdahulu, tiga cawangan rangkaian pusat jagaan itu di Seksyen 3 dan Kota Kemuning, Shah Alam serta Prima Puchong disita susulan dakwaan berlakunya pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

Terbaru, turut dikongsi menerusi laman Instagram pempengaruh Caprice adalah video seorang ibu yang berkongsi mengenai kematian anaknya selepas dihantar ke cawangan pusat jagaan itu di sekitar Bangi.