Ada orang menyangka wakaf itu hanya untuk mereka yang mempunyai tanah luas, bangunan, wang yang banyak atau harta yang sudah bertimbun. Hakikatnya, wakaf boleh bermula jauh lebih kecil daripada itu.
RM1, RM5, RM10… mungkin nilainya kecil pada hari ini, tetapi apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas dan manfaatnya terus dinikmati orang lain, nilai itu boleh menjadi amal jariah yang panjang dan pahala itu mengalir selama-lamanya.
Itulah antara perkara yang mahu diketengahkan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) kepada masyarakat. Berwakaf tidak perlu menunggu kaya, tetapi bermula dengan apa yang kita ada.
Matlamat ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar dalam temu bualnya bersama Media Selangor.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya melihat wakaf sebagai sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh golongan berada. Setiap orang mempunyai ruang untuk berwakaf mengikut kemampuan masing-masing.
“Bila kita nak melakukan satu-satu sedekah termasuk wakaf, kita melihat kepada bukan kekurangan kita tetapi apa yang boleh kita berikan kepada ALLAH.” Beliau memulakan perbualan dengan menyingkap betapa indahnya wakaf.
Wakaf bukan semata-mata tentang berapa banyak yang mampu diberikan, tetapi tentang bagaimana sesuatu yang kita miliki dapat terus memberi manfaat kepada orang lain.
Berbeza dengan sedekah yang lazimnya diberikan untuk manfaat pada ketika itu, wakaf mempunyai nilai tambah kerana manfaatnya boleh berterusan selagi harta atau aset yang diwakafkan digunakan.
“Umat Islam dapat melaksanakan ibadah wakaf dan mempunyai satu nilai tambah yang besar, pahalanya berkekalan dan jariahnya berpanjangan. Kalau orang ambil manfaat daripada harta yang kita wakafkan, pahala jariahnya mengalir sampailah ke hari kiamat,” kata Anuar Hamzah.

Indahnya wakaf
Bayangkan seorang anak muda yang baru mula bekerja. Gajinya mungkin belum besar. Komitmen pula semakin bertambah. Rumah belum ada, kereta masih membayar ansuran, dan simpanan masih dikumpul sedikit demi sedikit.
Adakah wakaf perlu ditunggu sehingga semua hutangnya selesai? Tidak. Dengan RM1 yang diwakafkan hari ini boleh menjadi permulaan kepada satu kebiasaan yang lebih besar iaitu membiasakan diri memberi sebelum mempunyai banyak.
Beliau mengambil contoh kisah Asma' binti Abu Bakar yang pernah menyatakan kepada Nabi Muhammad SAW dia tidak mempunyai harta untuk disedekahkan atau diwakafkan.
"Nabi kata, wahai Asma', ALLAH lebih mengetahui apa yang ada pada diri kamu. Dan jangan berkira-kira denganNya. Dalam hal berkaitan orang berhutang, bila kita laksanakan ibadah wakaf, ALLAH akan permudahkan cara untuk kita menyelesaikan hutang,” kongsinya.
Untuk itu, masyarakat disaran memulakan wakaf dengan RM1, RM5 atau RM10 dan meneruskannya secara konsisten mengikut kemampuan. Ia boleh dilakukan melalui tabung wakaf, potongan gaji, aplikasi atau kod QR.
PWS turut menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan orang ramai berwakaf, termasuk secara dalam talian dan di kaunter yang dibuka di pelbagai lokasi seperti masjid, surau, pejabat swasta dan pejabat kerajaan. Maklumat berkaitan juga boleh diperoleh menerusi aplikasi Wakaf Selangor serta media sosial PWS.
Bagi Anuar Hamzah, apa yang lebih penting bukanlah menunggu jumlah yang besar, tetapi memulakan langkah.
“Sedikit daripada kemampuan kita dinilai sangat besar di sisi ALLAH. Wakaf yang kita beri, manfaatnya kembali kepada masyarakat,” jelasnya.
Mungkin ramai tertanya-tanya, apa yang berlaku kepada wang wakaf yang dikumpulkan?
Di sinilah masyarakat boleh melihat bahawa wakaf bukan sekadar wang yang dikumpulkan, tetapi satu amanah yang diterjemahkan menjadi manfaat.
Menurutnya, sejak 2011 dana wakaf yang dikumpulkan PWS digunakan untuk pembangunan dan manfaat masyarakat, antaranya pembinaan lebih 100 surau dan lebih 50 masjid.
Manfaat itu turut disalurkan kepada sekolah, maahad tahfiz, hospital, klinik dan universiti. Malah, manfaat wakaf bergerak lebih jauh daripada sebuah bangunan.
Melalui kerjasama dengan Bank Muamalat, dana wakaf turut digunakan bagi menyediakan klinik bergerak. Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta pula membuka ruang kepada kemudahan kesihatan seperti klinik mata bergerak di MSU dan klinik gigi bergerak di Universiti Malaya.
“Bila kita laksanakan ini, orang ramai dapat manfaat. Jadi, apabila seseorang mewakafkan RM1 hari ini, mungkin dia tidak tahu ke mana duit itu pergi.
“Tetapi apabila ribuan orang melakukan perkara yang sama, sedikit demi sedikit ia boleh dihimpunkan menjadi manfaat yang jauh lebih besar,” jelasnya lagi.

Bukan Islam juga berwakaf
Wakaf mempunyai banyak wajah. Ada yang mungkin bermula dengan RM1. Ada yang mewakafkan tanah. Ada yang mewakafkan bangunan. Ada yang menyumbang melalui potongan gaji.
Semua ini bertemu pada satu titik yang sama iaitu wakaf boleh dimanfaatkan untuk semua golongan masyarakat. Lebih menarik, manfaat wakaf tidak hanya dirasai oleh umat Islam.
Kemudahan sosial dan kesihatan yang dibangunkan atau disediakan menggunakan dana wakaf turut memberi manfaat kepada masyarakat bukan Islam.
Malah, menurut Anuar Hamzah, terdapat juga orang bukan Islam yang berwakaf dengan PWS melalui potongan gaji dan meniatkannya untuk pembangunan institusi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Wakaf ialah satu bentuk amalan yang jariahnya diambil manfaat. Wakaf ini satu benda yang berbeza dan dia memberi manfaat kepada semua orang, terutama orang Islam dan juga orang bukan Islam,” katanya.
Jelasnya, PWS turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memaklumkan keperluan institusi atau kawasan yang memerlukan bantuan wakaf.
Maklumat mengenai keperluan tersebut boleh diperoleh melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi agama dan agensi kerajaan yang berkaitan.
Penyaluran wakaf pula dibuat berdasarkan keutamaan, termasuk dalam bidang pendidikan dan kesihatan, selain membantu institusi yang terjejas akibat bencana seperti banjir dan ribut.

Jangan tunggu esok!
Jadikan wakaf perkara paling mudah untuk dimulakan. Tidak perlu menunggu kaya. Tidak perlu menunggu mempunyai aset yang banyak. Semakin lama kita menunggu, semakin lama peluang untuk memberi ditangguhkan.
Justeru, Anuar Hamzah menggalakkan masyarakat yang sudah mempunyai niat untuk berwakaf supaya segera melaksanakannya.
“Mulakan berwakaf hari ini. Bila kita dah tahu tentang wakaf termasuk amalan lain seperti contoh wasiat, jangan kita tangguhkan lagi,” tegasnya.
Jelasnya, wakaf juga boleh dijadikan satu amalan yang konsisten melalui wakaf Jumaat, potongan gaji bulanan atau sumbangan melalui kod QR.
Dalam memastikan setiap amanah wakaf diurus dengan baik, PWS sentiasa dipantau Jabatan Audit Negara selain melaksanakan audit dalaman dan audit luaran.
PWS turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan pengurusan amanah wakaf dilaksanakan dengan baik.







