PWS salur RM244,800 wakaf manfaat empat institusi agama, pusat rehabilitasi

2 Sep 2026, 5:02 AM
PWS salur RM244,800 wakaf manfaat empat institusi agama, pusat rehabilitasi
PWS salur RM244,800 wakaf manfaat empat institusi agama, pusat rehabilitasi

SHAH ALAM, 2 SEPT: Perbadanan Wakaf Selangor menyumbang wakaf berjumlah RM244,800 kepada empat institusi agama dan sebuah pusat rehabilitasi bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada masyarakat.

Agensi itu memaklumkan, jumlah itu merangkumi RM114,800 untuk Masjid At-Taqwa, Subang Permai menerusi 50 peratus kutipan tabung wakaf yang ditempatkan di masjid berkenaan bagi penyediaan karpet, ruang solat dan pemasangan kubah baharu.

Selain itu, Surau Al-Muhajirin, PPR Lembah Subang 2 menerima sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM40,000 bagi tujuan baik pulih infrastruktur, manakala Masjid Jamek Batu Arang menerima RM30,000 untuk menaik taraf dewan masjid.

“PWS turut menyalurkan RM10,000 kepada Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur bagi pemasangan kamera dan sistem penstriman radio masjid.

“Inisiatif itu dijangka memperkukuh kemudahan komunikasi serta penyampaian aktiviti keagamaan kepada komuniti dan jemaah,” katanya di Facebook.

PWS turut menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Rumah Sahabat di Hulu Langat bagi menyokong usaha pemulihan komuniti di pusat rehabilitasi persendirian berkenaan.

Penyerahan cek cura wakaf kepada pusat rehabilitasi berkenaan pada 29 Ogos lalu, disampaikan Timbalan Pengerusi PWS Mohamed Izam Mohamed Yusof yang disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Majlis itu berlangsung bersempena Pelancaran SunwayforGood Food Program Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Rumah Sahabat.

“Program khidmat masyarakat berkenaan dijayakan Sunway dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) bagi menyantuni serta menyokong usaha pemulihan komuniti.

“Sumbangan berkenaan membuktikan komitmen berterusan PWS menjadikan wakaf sebagai instrumen pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Wakaf bukan sahaja membantu menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif, malah berperanan menyokong pembangunan sosial serta membuka ruang kepada golongan memerlukan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan menyumbang wakaf tunai melalui saluran rasmi PWS menerusi Wakaf Selangor Online dan aplikasi Wakaf Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.